PUTRAJAYA – Penularan Covid-19 dalam negara terus merekodkan angka tertinggi dengan 691 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 13,504 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 2,936 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 691 kes baharu dilaporkan itu, penularan tempatan merekodkan 688 kes, selebihnya kes import.
“Lebih separuh jumlah kes iaitu 394 kes dari Kluster Tembok, Kedah yang mana kesemua mereka terasing dari orang awam.
“Justeru, risiko penularan jangkitan amat rendah dan terkawal. Di Sabah pula, 219 kes dari zon merah iaitu kawasan PKPB secara pentadbiran,” katanya pada sidang media di kediaman beliau hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, ada 87 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 10,427 kes.
“Sehingga kini, 31 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapandaripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dalam pada itu, empat kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah 141 kes. – myMetro Online