KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib telah memberikan notis peletakan jawatannya hari ini untuk meneruskan peluang kerjaya lain.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, UEM Sunrise berkata, lembaga pengarah akan membincangkan mengenai tarikh kuat kuasa peletakan jawatan Anwar Syahrin itu.
“Dalam pada itu, satu pelan peralihan akan dilaksanakan bagi penyerahan tugasan yang lancar untuk memastikan pengurusan perniagaan dan operasi UEM Sunrise yang berterusan.
“Syarikat akan mengumumkan tarikh peletakan jawatan itu apabila tiba masanya,” kata syarikat itu.
Baru-baru ini, UEM Group Bhd telah menyerahkan surat kepada lembaga pengarah UEM Sunrise dan Eco World Development Group Bhd mencadangkan mereka menimbang potensi penggabungan antara kedua-dua syarikat itu.
Cadangan penggabungan itu dijangka mewujudkan satu daripada syarikat hartanah terbesar di Malaysia. – BERNAMA