GUA MUSANG – Seakan musim perayaan apabila ramai warga kota berpusu-pusu melalui jalan utama Kuala Lipis-Gua Musang dan Kuala Krai untuk pulang ke kampung sejak petang semalam.
Kesempatan itu diambil sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur mulai tengah malam ini.
Ketika ditemui, mereka mendakwa menghantar anak dan isteri ke kampung untuk mengelak sebarang kerumitan sepanjang tempoh PKPB.
Seorang penjawat awam di Kuala Lumpur, Zainal Abidin Sulaiman, 36, berkata, dia lebih selesa tinggal seorang diri dalam tempoh PKPB itu.
Tambahan pula, katanya, tempoh PKPB itu belum diketahui sama ada dilanjutkan atau sebaliknya.
“Kalau tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, tidak bimbang sangat, malah saya boleh bergerak persendirian ke mana sahaja dengan mematuhi PKPB serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur mulai 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober, dan rentas daerah tidak dibenarkan.
Seorang lagi warga kota, Fauzi Yaacob, 41, pula berkata, dia memuji langkah kerajaan melaksanakan PKPB untuk memutuskan rangkaian Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa mengambil keputusan menghantar anak dan isteri tinggal bersama keluarga di kampung di Pasir Mas.
“Dalam keadaan ini, saya bimbang dengan kesihatan serta keselamatan anak dan isteri jika tinggal bersama saya di Kuala Lumpur.
“Adalah lebih selamat saya hantar mereka tinggal di kampung,” katanya. – myMetro Online