KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan yang memberangsangkan apabila buat pertama kalinya turun di bawah paras sembilan peratus sejak April 2020 iaitu pada 8.9 peratus atau 502,300 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kadar pengangguran belia melepasi paras sembilan peratus daripada April sehingga Julai tahun ini dengan merekodkan 544,500 belia menganggur pada Julai.
Secara keseluruhan, katanya, pasaran pekerjaan di negara ini berada dalam keadaan stabil dengan sedikit pemulihan apabila bilangan penganggur yang direkodkan pada Ogos 2020 adalah seramai 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada bulan Julai lalu.
“Namun, kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur.
“Trend pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei dan Jun sebanyak 4.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, trend pemulihan yang dicatatkan pada Ogos disokong oleh pelbagai faktor, antaranya lebih banyak perniagaan beroperasi bermula 10 Jun 2020 selaras dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Selain itu, katanya, pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat; kebenaran merentas negeri yang menyaksikan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak dan kesan positif daripada pelbagai inisiatif kerajaan seperti pakej rangsangan PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Pemulihan Jangka Pendek (PENJANA).
“Ia khususnya melalui pelbagai program yang secara langsung memberi penekanan kepada pemulihan pasaran buruh iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PENJANA Kerjaya).
“Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk belia dan penganggur, Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA,” katanya.
Di samping itu, katanya, statistik penduduk bekerja pada Ogos 2020 mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus kepada 15.15 juta orang.
Beliau berkata, ini bermakna nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan turut meningkat 0.3 mata peratus daripada bulan sebelumnya kepada 65.2 peratus.
“Statistik ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin beransur pulih hasil pelbagai usaha dan inisiatif yang digagaskan oleh kerajaan dengan sokongan banyak pihak termasuk sektor swasta, industri dan juga rakyat,” katanya. – BH Online