KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau tidak membuat permintaan supaya melanjutkan tempoh moratorium kepada kerajaan.
Beliau menegaskan telah menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan sejak Julai lalu.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di laman Facebooknya Najib berkata, tindakan beliau berbuat demikian sebelum ini seolah-olah dinafikan oleh pihak tertentu.
“Ada yang komen kenapa hanya sekarang baru saya minta bank lanjutkan moratorium. Ini tidak betul,” katanya.
Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan moratorium automatik bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April, 2020.
Bank-bank digalakkan untuk memudahkan moratorium ke atas pinjaman korporat dan perlu menyediakan peruntukan bagi pinjaman sedemikian.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau sudah meminta melanjutkan moratorium sejak Julai lalu termasuk permintaan secara rasmi dalam perbahasan di Parlimen.
“Tindakan sama juga diambil oleh Ketua Penerangan UMNO, Presiden UMNO dan UMNO juga meminta sekali lagi semalam. Jika kerajaan PN dan Menteri Kewangan PN masih tak izinkan, apa kita boleh buat?” tulisnya.
Hantaran di media sosialnya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen antaranya, Muhammad Faizal yang memberi komen “Terbaik Datuk Seri Bossku. Hingga hari ini UMNO dan BN sentiasa mengutamakan rakyat sejak era pentadboran di bawah kelolaan Datuk Seri Bossku lagi.”
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai yang masih terjejas dengan koronavirus (Covid-19) membuat permohonan Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Secara Bersasar sebelum 30 September lalu.
Muhyiddin berkata, sehingga 11 September lalu, lebih 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka benar-benar memerlukan bantuan itu dan jumlah berkenaan berdasarkan perbincangan institusi perbankan dengan lebih 1.4 juta peminjam di seluruh negara.
Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Secara Bersasar untuk membantu golongan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19. – Sinar Harian