KUALA LUMPUR – Pola kes harian yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini adalah hasil tindakan aktif dan agresif Kementerian Kesihatan di lapangan, membabitkan beberapa negeri untuk mengekang penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah dan kes baharu positif hari ini adalah hampir sama seperti direkodkan sejak kebelakangan ini yang menunjukkan peningkatan kes dalam Kluster Tembok, Kedah, sebanyak 97 kes dan 155 kes di Sabah.
“Selebihnya, 65 kes dilaporkan di beberapa negeri lain. Ini termasuk 37 kes membabitkan pengunjung yang pulang dari Sabah susulan ujian saringan oleh kementerian.
“Malah, pola jumlah kes harian ini adalah hasil tindakan aktif dan agresif di lapangan untuk mengekang penularan COVID-19.
“Antara tindakan dijalankan termasuk pengesanan kontak rapat bagi kes positif COVID-19 dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar yang mana seramai 18,701 orang disaring, meliputi 18,614 penduduk tempatan dan 87 orang bukan warganegara.
“Daripada aktiviti itu, sejumlah 44 orang dikesan positif, iaitu 43 rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara, manakala 18,657 orang lagi negatif COVID-19, merangkumi 18571 rakyat tempatan dan 86 bukan warganegara,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini. – BERNAMA