KUALA LUMPUR – Orang ramai yang ingin membuat permohonan rentas negeri diingatkan supaya tidak memberi alasan remeh dan hanya melakukannya jika ada keperluan mendesak.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober, sebanyak 1,587 permohonan rentas negeri diterima dan daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan manakala bakinya ditolak.
“Kebanyakan permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.
“Bagi permohonan yang ditolak kerana mereka mengemukakan alasan remeh seperti ingin bercuti atau melancong di negeri lain, menghadiri kenduri kahwin selain menggunakan alasan mahu menghantar anak pulang ke kampung tanpa tujuan atau bukan kecemasan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas operasi khas pematuhan PKPB di kawasan Selayang Baru dan Sri Gombak, dengan tujuh individu dikompaun serta dua warga asing ditahan dekat sini, tengah malam tadi.
Arifai, bagaimanapun berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rentas negeri yang membabitkan ahli keluarga yang sakit tenat dan alasan lain yang dianggap munasabah.
Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan PKPB boleh diperoleh di balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.
Pada 12 Oktober, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak. – BERNAMA