KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri disahkan positif Covid-19.
Muhyiddin berkata, beliau sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Zulkifli pada 3 Oktober lalu.
Menurutnya, untuk makluman, Zulkifli disahkan positif jangkitan Covid-19 hari ini dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital diSeremban.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankanujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat itu.
“Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober lalu dan dipakaikan gelang pengawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ahli mesyuarat yang bukan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) selama 14 hari bermula 3 Oktober lalu hingga 16 Oktober dan memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.
“Bagaimanapun ia tidak akan mengganggu urusan kerajaan dan saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 (ujian calitan) setiap dua minggu sejak bulan April lalu dan kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan negatif,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau sudah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati Negatif.
Ini adalah kali kedua Perdana Menteri diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya.
Sebelum ini beliau dikuarantin selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pascakabinet di Pejabat Perdana Menteri Mei lalu. – myMetro Online