JAKARTA – Penunjuk perasaan dalam demonstrasi di Jakarta semalam turut didapati positif dan reaktif COVID-19 selepas ditahan dan menjalani ujian kesihatan.
Ramai pemerhati khuatir, demonstrasi semalam akan mencetuskan kluster baharu, ketika Indonesia yang setakat hari ini mencatatkan 324,658 kes positif keseluruhan.
Menurut Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta), Yusri Yunus, sebanyak lima individu yang ditahan dalam rusuhan semalam didapati positif virus itu, manakala 34 lagi didapati reaktif dan akan menjalani ujian lanjut.
Semalam, polis Jakarta menahan lebih 1,000 perusuh, kebanyakannya pelajar dan golongan muda, yang dilihat hanya terikut-ikut menyertai demonstrasi itu dan tidak pernah tahu apa-apa berkenaan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lepas.
Stesen televisyen tempatan hari ini turut menyiarkan liputan langsung ibu bapa pelajar terbabit, yang berbaris panjang di balai-balai polis di Jakarta, bagi menjamin anak-anak mereka yang ditahan semalam.
Selain Jakarta, beberapa kota di Indonesia, antaranya Bandung, Lampung, Tangerang, Makassar, Yogyakarta dan Surabaya, turut berlaku demonstrasi anjuran golongan mahasiswa dan Persatuan Buruh Indonesia.
Golongan itu membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja itu yang didakwa mereka mengabaikan hak-hak pekerja dan demonstrasi itu kemudiannya bertukar menjadi rusuhan selepas polis bertindak menyuraikan perhimpunan berkenaan.
Menurut kenyataan Pemerintah Jakarta, sebanyak 398 tan sampah dan kerosakan harta awam dibersihkan sejak pagi tadi, manakala berpuluh-puluh perhentian bas dirosakkan, sembilan pondok polis dibakar dan berlaku kerosakan harta serta kemudahan awam yang lain.
Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja itu adalah cadangan Presiden Joko Widodo pada tahun lepas, bertujuan mengurangkan pelbagai karenah birokrasi untuk menggalakkan pelaburan asing ke Indonesia bagi mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan.
Undang-undang itu bagi menggantikan puluhan undang-undang sedia ada termasuk berkaitan perihal pekerja yang dilihat “mengarut”, seperti tiada had tempoh untuk pekerja kontrak, penyusunan semula cuti-cuti tahunan yang pelik-pelik, antaranya seperti cuti untuk pekerja wanita yang sedang haid, penetapan gaji minimum mengikut provinsi serta peraturan yang lebih sistematik berkaitan pampasan kepada pekerja yang diberhentikan.
Namun beberapa fasal dalam peraturan itu ditularkan dengan fakta yang tidak tepat menerusi pelbagai platform media sosial.
Jokowi mempunyai tempoh 30 hari untuk menandatangani undang-undang itu atau sebaliknya selepas ia diluluskan Parlimen pada 5 Okt lepas.
Menurut data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif baharu COVID-19 di republik itu dalam tempoh 24 jam adalah sebanyak 4,094 manakala jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini 11,677 orang. – BERNAMA