IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi calon ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
RUU itu yang bertujuan meminda Perkara 30 Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang, sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh empat ADUN, masing-masing dua daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ahmad Faizal berkata pindaan RUU itu dibuat supaya selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang berkuat kuasa pada 11 September 2019 selepas dipinda pada Julai tahun sama.
“Pindaan ini memerlukan sokongan yang padu daripada semua ADUN dan juga masyarakat kerana pindaan yang kita lakukan ini akan memberi kesan yang sangat signifikan dan berpanjangan kepada Perak dan generasi akan datang.Â
“Saya menyeru semua Ahli-ahli Yang Berhormat supaya bersama-sama merealisasikan hasrat kita untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negeri Perak,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.Â
Terdahulu, persidangan DUN Perak hari ini juga sebulat suara meluluskan tanpa sebarang perbahasan usul menjunjung kasih dan menyembah taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Usul menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong dibuat susulan titah baginda pada 25 Oktober lalu yang menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, supaya mengetepikan segala perbezaan serta perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati.
Baginda bertitah supaya rakyat memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara dicintai.
“Dewan negeri Perak berpandangan Seri Paduka Baginda mengambil kira keperluan rakyat serta mengutamakan kepentingan semua pihak,” katanya ketika membentangkan usul itu.
Ahmad Faizal berkata dewan itu juga menzahirkan taat setia tidak berbelah bagi terhadap Sultan Nazrin atas titah ketika merasmikan persidangan DUN Mei lepas mengenai kepentingan mengimbangi usaha membendung penularan COVID-19 untuk mengelakkan darurat ekonomi yang sukar dipulihkan.
Persidangan DUN Perak yang berlangsung hanya kira-kira tiga jam setengah hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – BERNAMA