KUALA LUMPUR – Statistik terperinci ke peringkat daerah amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan hingga ke peringkat daerah serta memastikan agihan sumber yang berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam usaha meningkatkan kesejahteraan, rakyat memerlukan keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh dan mencukupi.
“Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penerbitan ‘My Local Stats 2019’, di sini, hari ini.
Penerbitan tersebut adalah bersempena dengan Hari Statistik Negara 2020 yang akan disambut pada 20 Oktober 2020, serentak dengan Hari Statistik Sedunia.
Mustapa berkata, dengan adanya penerbitan ‘My Local Stats’ itu, penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dibuat dan seterusnya melihat jurang pembangunan yang berlaku antara daerah.
“Saya yakin dengan penghasilan statistik ini, pelbagai kajian di peringkat daerah dapat dibuat, selain penghasilan indeks di peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia.
“Justeru, penerbitan ‘My Local Stats’ ini adalah sangat penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai situasi semasa Malaysia di peringkat tempatan,” katanya.
Menurutnya, penerbitan ini akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal dan melaksanakan dasar kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan.
Penerbitan ‘My Local Stats’ merupakan penerbitan kali pertama mengikut daerah dan kali ketiga peringkat negeri, yang mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi, serta tambahan 20 jadual baharu di peringkat daerah berbanding penerbitan tahun sebelumnya. – BERNAMA