SEMALAM, Pejabat Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah mengutus surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg meminta media sosial gergasi itu menurunkan semua kandungan Islamofobia di platformnya.
Kata Imran, sebagaimana FB bertindak membuang apa sahaja kandungan berkaitan jenayah ke atas masyarakat Yahudi, ia juga harus melakukan perkara yang sama terhadap kandungan jelik ke atas orang Islam.
Beliau menuntut Islamofobia dihentikan.
“Saya menghargai langkah anda untuk mengharamkan apa-apa posting yang mengkritik atau mempersoalkan mengenai Holocaust yang merupakan himpunan pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi terhadap kaum Yahudi di Jerman dan Eropah apabila fahaman Nazi tersebar di serata benua itu,” kata beliau dalam suratnya.
Imran meluahkan rasa gusar dan sedih beliau terhadap sikap dunia ke atas masyarakat Islam.
Beliau memberikan contoh layanan buruk diterima masyarakat Islam di India dan terbaru di Perancis.
Jelas Imran, kebencian terhadap masyarakat Islam mencurah di media sosial termasuk FB.
Kata beliau, untuk berlaku adil, kandungan bersifat Islamofobia harus dilayan seperti mana apa-apa isu berkaitan Holocaust ditapis.
Setakat ini, pihak FB atau Zuckerberg masih belum memberikan sebarang respon terhadap surat Perdana Menteri Pakistan itu. – Mynewshub.TV