KUALA LUMPUR – Tiga ejen sindiket urusan cap palsu imigresen yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai memberi rasuah lebih RM1 juta kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 2017.
Sumber berkata, tiga individu termasuk peguam berusia antara 30 hingga 66 tahun itu ditahan sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.
“Siasatan mendapati ejen ini sudah membayar pegawai imigresen sejak tahun 2017.
Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP
“Setakat ini nilai yang sudah diberikan ejen terbabit kepada pegawai imigresen berjumlah RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, dua yang ditahan itu menjalankan perniagaan berkaitan agensi pekerja asing.
“Semua individu yang ditahan dibenarkan reman selama lima dan tujuh hari bermula hari ini,” katanya.
Katanya, SPRM juga akan merampas aset yang dimiliki ejen terbabit.
Sehingga kini SPRM seramai 59 orang ditahan sepanjang Ops Selat dilancarkan termasuk 15 ejen pekerja asing, 34 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 10 orang awam yang bertindak sebagai keldai akaun.
SPRM juga setakat ini sudah merampas lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi telah dirampas. Nilai ini tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kakitangan JIM itu disogok susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka. – myMetro Online