KUALA LUMPUR – Analogi pelampung dan kisah pinangan Puteri Gunung Ledang digunakan seorang Ahli Parlimen dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hari ini.
Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menegaskan perkara itu ketika menolak dakwaan seorang Ahli Parlimen sebelum ini yang menyifatkan syarat sokongan BN iaitu meminta perlanjutan moratorium pinjaman automatik dan pengeluaran caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai syarat pinangan Puteri Gunung Ledang.
Katanya, kebenaran mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP secara sekali bayaran dan perlanjutan moratorium secara pukal ibarat pelampung yang ‘perlu dicampakkan kepada rakyat yang semakin hendak tenggelam sekarang’ akibat kesan pandemik COVID-19.
Beliau berkata keadaan rakyat ketika ini yang mengalami beban besar dan kesusahan jika tidak dibantu dengan sewajarnya.
“Saya menganggap isu moratorium dan KWSP seperti pelampung. Pelampung ini adalah milik rakyat sebab mereka hampir nak tenggelam. Selamatkanlah mereka, campak ‘pelampung’ ini kepada mereka.
“Apabila rakyat sudah boleh bernafas semula, ambillah balik pelampung terbabit. Mengapa ketika rakyat memerlukan pelampung ini, kerajaan takut nak bagi?
“Jadi saya nak minta (kerajaan) anggaplah isu (KWSP dan moratorium) ini sebagai pelampung menyelamatkan rakyat,” katanya.
Beliau menyentuh isu dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) sebelum ini yang menyifatkan sokongan bersyarat Belanjawan 2021 oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada sesi perbahasan sebelum ini, ibarat syarat dalam Hikayat Puteri Gunung Ledang.
Mengulas lanjut, Noh berkata, perumpamaan yang digunakan Ahmad Fadhli itu, kurang tepat.
“Apabila saya mendengar perbahasan rakan saya dari Pasir Mas, terutama syarat KWSP dan moratorium seperti nak meminang Puteri Gunung Ledang, ini kurang tepat sebenarnya.
“Hikayat Puteri Gunung Ledang, perlu bina jambatan emas dan untuk bina jambatan itu, kita kena cari duit, cari emas dan kita perlu cari nyamuk pula untuk mendapatkan hati serangga itu. Ini (sokongan bersyarat) bukan seperti itu,” katanya. – BH Online