KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedikasikan hidupnya menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini terutama dalam memerangi pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Dr Noor Hisham bersama warga Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan tugas seawal jam 8 pagi bagi mencari penyelesaian membanteras penularan wabak itu.
“Kami di KKM termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham setiap hari akan bermesyuarat, berbincang dan bertukar idea seawal jam 8 pagi sehingga lewat petang mencari penyelesaian membanteras penularan wabak COVID-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga.
“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga KKM lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Azmi turut menyatakan perasaan terkejut kerana ada individu tertentu sama ada orang awam atau ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan yang dilakukan Dr Noor Hisham.
“Jika kita merujuk kepada frontliners (petugas barisan hadapan), Dr Noor Hisham Abdullah adalah orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus COVID-19 selama ini,” katanya.
Malah, beliau berkata, tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan amanah yang dilaksanakan oleh Dr Noor Hisham adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal. – BH Online