KUALA LUMPUR – Satu mesej Twitter Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini menjadi perhatian pengguna media sosial apabila menyentuh nama seorang artis terkenal.
“Tahniah puan Erra Fazira dan suami atas pernikahan sebentar tadi. Ia berlangsung di pejabat JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dalam tempoh tidak melebihi 20 minit dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak JAWI,” katanya dalam mesej itu yang disertakan empat keping gambar majlis.
Hantaran itu menarik perhatian kerana ramai menganggap Erra Fazira yang dimaksudkan menteri berkenaan ialah pelakon terbabit.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata nama itu bukan individu yang disangka tetapi orang lain yang bernama sama.
“Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut.
“Ingatkan pelakon filem Sembilu itu,” katanya yang mendoakan kebahagiaan pasangan terbabit. – BH Online