PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) antara agensi penguatkuasaan yang berani memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membongkar dan mendedahkan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa, demikian menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.
Azam berkata bukan mudah untuk mendapat kerjasama berhubung siasatan dan risikan bagi sesuatu kes rasuah, bagaimanapun Imigresen yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud memberikan kerjasama baik kepada SPRM dalam merungkai kegiatan sindiket penyalahgunaan pengesahan cap keluar masuk sempadan meskipun ia melibatkan anggota jabatan itu.
Dilaporkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara lumpuh apabila SPRM menahan 46 orang termasuk 27 pegawai Imigresen dalam operasi besar-besaran pada Isnin.
‘Sting Operation’ yang dinamakan Op Selat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 di sini dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor.
“Saya amat hargai kerjasama siasatan yang diberikan oleh beliau (Khairul Dzaimee) dalam membongkar sindiket ini. Risikan dan siasatan bersama dijalankan sejak beberapa bulan lepas walaupun ia melibatkan beberapa pegawai Imigresen,” kata Azam ketika dihubungi Bernama.
Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan semalam berhubung penahanan pegawai Imigresen berkata Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan merekaĀ yang akan dilaksanakan dengan penuh profesional.
Menurutnya, penahanan pegawai jabatan itu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan cap itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperoleh daripada aduan orang ramai.
āJabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakanĀ kuasa yang diperuntukkan di bawahĀ akta dan peraturanĀ Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi,ā katanya dalam kenyataan itu.
Memuji iltizam Khairul Dzaimee, Azam berkata kerjasama dengan pihak Imigresen itu bukan kali pertama dan akan ada lagi kes berbentuk sindiket jenayah yang bakal dibongkarkan.
“Kerjasama risikan dan siasatan dengan mana-manaĀ agensi kerajaan amat diperlukanĀ bagi membolehkan kegiatan rasuah sertaĀ salah guna kuasa di negara ini dibanteras,” katanya, sambil menambah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara rakan strategik SPRM dalam melaksanakan beberapa risikan dan siasatan bersama sebelum ini. – BERNAMA