SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkenaan Kuala Lumpur menjadi “wilayah bebas berniaga” mulai 15 November 2020.
Pertama sekali, tiada garis panduan yang jelas diberikan beliau. Semakan ke atas laman web DBKL, didapati tiada sebarang informasi berkaitannya. Seolah-olah kenyataan yang dikeluarkan itu tanpa satu perbincangan dan perancangan teliti dengan berbagai pihak berkepentingan (stakeholders).
Adakah YB Menteri tidak sedar dan tidak tahu wujudnya undang-undang dan peraturan berkaitan termasuk akta seperti Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan), Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan), dan 6 akta lain?
Kalaupun hendak memudahkan warga kota untuk berniaga, amat wajar infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik disediakan bagi menjaga hak kesemua stakeholders. Bukan sahaja peniaga, bahkan juga hak kejiranan dan pelanggan.
Faktor kesihatan perlu juga diambil perhatian bagi kepentingan peniaga, pekerja serta pelanggan. Langkah-langkah pencegahan merebaknya penyakit perlu juga ditekan termasuk keperluan suntikan imunisasi seperti imunisasi penyakit kepialu (typhoid) dsbnya. Dalam keadaan kita sedang menghadapi wabak COVID19 ini, kita tidak perlu kepada kemungkinan wujudnya satu lagi wabak penyakit yang lain.
Pencemaran alam persekitaran dan bau juga boleh juga berlaku jika tiada garis panduan yang jelas tidak wujud dan keperluan asas tidak disediakan, sebagai contoh bayangkan peniaga yang menjual ayam mentah, air serta sisa-sisa mungkin disalirkan melalui parit perumahan yang pastinya akan membawa ketidakselesaan kejiranan.
Kemungkinan YB Menteri ingin menjadi popular dan menambah sokongan, akan tetapi kenyataan Menteri ini memang tidak bertanggungjawab.
Ya, memang sokongan perlu diberikan kepada rakyat untuk berniaga sebagai sumber mencari rezeki secara sah dan selamat. Tetapi, berhentilah dari bertindak untuk jadi popular politik semata-mata tetapi sebenarnya membawa kesengsaraan rakyat dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, kita tuntut dibentangkan satu perancangan yang menyeluruh dan pendekatan yang lestari (sustainable).
ZAHIR HASSAN
PENGERUSI
KEADILAN WILAYAH PERSEKUTUAN