SHAH ALAM – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu terus kekal berkuasa apabila menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) dalam Belanjawan 2021.
Naib ketuanya, Faizah Ariffin berkata, Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan diwujudkan semula dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta.
Menurutnya, RM8.6 juta pula diperuntukkan kepada PeKT hanya di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Ini gila! Kita semua sama-sama sedang menyaksikan betapa kerajaan PN sedang bertarung nyawa untuk terus kekal berkuasa dengan majoriti tipis yang dilihat bakal rebah pada bila-bila masa.
“Bayangkan dengan peruntukan sebanyak itu, boleh membantu menambah baik dan membeli alatan keperluan hospital selain membantu rakyat yang merangkak untuk bangkit semula.
“Jelas dan terang ini adalah bermotifkan politik dengan menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat bangkit semula dek pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Faizah berkata, sebelum ini Pakatan Harapan (PH) lantang menyanggah cadangan pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang kehilangan kerja kerana dilindungi caruman Sistem Insurans Pekerja (SIP), tetapi kerajaan gagal melaksanakannya.
Kini menurutnya, kerajaan tidak mengendahkan desakan rakyat supaya memberikan kebenaran pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off’ daripada akaun satu KWSP.
“Kesimpulannya kerajaan hari ini tidak ada kepedulian atas masalah kelangsungan hidup rakyat. Yang mereka utamakan adalah ‘survival’ politik PN yang kini bagai telur di hujung tanduk.
“Jika kerajaan hari ini susah untuk bantu rakyat, janganlah rakyat juga diberi susah untuk terus berjuang pulihkan ekonomi,” katanya. – Sinar Harian