KUALA LUMPUR – Keputusan untuk melanjutkan tempoh konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 38 tahun lagi sehingga 2058 seperti yang diumumkan kerajaan terdahulu pada Januari lalu belum dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata kerajaan masih meneliti isu terbabit kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan dan diimbangi.
Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP
“Perjanjian mengenai PLUS sedang diteliti kerana dalam isu membabitkan tol, banyak perkara sensitif perlu dipertimbangkan seperti kenaikan harga (tol) dan tempoh konsesi.
“Ini perlu diimbangi dengan beban hutang kerajaan termasuk beban rakyat dan tanggungan (syarikat) konsesi.
“Perjanjian dengan PLUS ini dalam perbincangan dan belum diputuskan setakat hari ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) sama ada kerajaan akan mengkaji semula keputusan dibuat kerajaan terdahulu melanjutkan tempoh konsesi PLUS dan apakah perjanjian mengenainya sudah ditandatangani. – BH Online