KAJANG – Lebih 570 kediaman di 10 kampung dan satu taman perumahan di Hulu Langat dinaiki air berikutan hujan lebat sejak jam 4.15 pagi tadi.
Kawasan yang terjejas membabitkan Kampung Batu 20 Sungai Lui; Kampung Batu 14; Kampung Batu 16; Kampung Kuala Perdik; Kampung Batu 18; Kampung Batu 17; Kampung Sungai Serai; Kampung Dusun Nanding; Kampung Baru 13; Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding.
Ketika ini air dilaporkan kekal pada paras satu meter dan proses pemindahan penduduk ke kawasan selamat sedang dilakukan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata seramai 32 pegawai dan anggota bomba dari lima balai bomba berhampiran terbabit dalam tugas-tugas menyelamat dan memindahkan mangsa.
“Setakat jam 1 tengah hari tadi, JBPM Selangor sudah memindahkan lebih 100 penduduk ke tempat selamat dan pada masa ini proses itu masih dilaksanakan termasuk dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Kita juga turut menggerakkan empat bot penyelamat untuk memindahkan penduduk,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mengalami kesukaran kerana ada mangsa yang enggan berpindah ke tempat lebih selamat.
“Dalam cuaca sekarang, kita khuatir hujan lebat akan kembali dan keadaan menjadi lebih sukar sekiranya penduduk enggan berpindah ke tempat selamat.
“Justeru proses pemindahan pada masa ini sedang giat dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Kementerian Kesihatan,” katanya. – BH Online