JOHOR BAHRU – Seramai 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman tujuh hari bermula hari ini, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, bagi membantu siasatan kes pemalsuan cop sempadan negara.
Turut direman, empat orang yang dipercayai bertindak sebagai ejen membantu kegiatan jenayah terbabit dengan mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing.
Kesemua suspek berusia 35 hingga 45 tahun tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman sehingga 23 November itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mohammad Salehuddin Abd Sani yang membenarkan permohonan SPRM bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, anggota terbabit dipercayai menerima rasuah antara RM100 hingga RM500 bagi setiap passport, sejak 2017 hingga tahun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM, Mahadi Abd Jumaat.
Sembilan anggota JIM diwakili S Bharathi, manakala empat yang lain diwakili Noordin Hussein, Baharudin Baharim dan Amarpreet Singh.
Semalam media melaporkan, SPRM menahan sekurang-kurangnya 43 individu dipercayai terbabit dalam kes pemalsuan cop sempadan di Johor dan Selangor.
Tangkapan dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor membabitkan 10 anggota JIM, manakala kira-kira 30 lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam. – BH Online