KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1, i-Sinar pada awal minggu hadapan.
“Perincian ini merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.
“KWSP menjangkakan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bermula pertengahan Disember 2020, dengan pembayaran pertama sebulan selepas permohonan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menyatakan program i-Sinar KWSP akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan, dengan lebih lapan juta pencarum akan mendapat manfaat dengan had pengeluaran sehingga RM10,000.
i-Sinar adalah kemudahan tambahan kepada program bantuan kerajaan lain dan juga inisiatif lain yang diperkenalkan KWSP ketika pandemik COVID-19, seperti pengurangan kadar berkanun syer pekerja, pengeluaran i-Lestari, dan juga Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP).
Tengku Zafrul berkata, tidak kira samada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun berhadapan dengan pengurangan pendapatan, ahli layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.
Ahli KWSP katanya boleh memohon secara dalam talian atau hadir di pejabat KWSP dan menunjukkan bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau kerja lebih masa mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri. – BH Online