KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) buat pertama kali secara maya sepenuhnya jam 8 malam ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu dijangka disertai Pemimpin Ekonomi dari 21 negara APEC dengan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva juga akan membentangkan maklumat terkini mengenai prospek semasa ekonomi global kepada pemimpin.
Bagi mengekalkan tradisi, AELM akan dimulakan selepas Mesyuarat Menteri APEC (AMM) berlangsung pada 16 November lalu.
“Sehingga kini, Malaysia berjaya menganjurkan tujuh mesyuarat peringkat menteri dengan AMM menjadi acara terbaharu.
“Mesyuarat itu membawa kepada lapan konsensus Kenyataan Menteri mengenai Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wanita dan Keselamatan Makanan.
“Pada sidang AELM malam ini, Wawasan Pasca-APEC 2020 dijangka dilancarkan yang mana akan menjadi dokumen rujukan utama rantau ini dan menentukan hala tuju strategi masa depan APEC bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.
MITI berkata, visi baharu itu akan menetapkan perkembangan berhubung Matlamat Bogor yang dilancarkan pada 1994 yang mana akan mencapai tempoh matang akhir tahun ini.
“Pemimpin juga dijangka mengeluarkan pernyataan bersama pada akhir mesyuarat hari ini.
“Pernyataan ini berkemungkinan berkisar mengenai Deklarasi Kuala Lumpur yang memuatkan rujukan kepada usaha yang dilaksanakan APEC sepanjang tahun dalam beberapa bidang yang menjadi pusat pemulihan serta pertumbuhan rantau ini termasuk perdagangan, pelaburan, maklum balas dasar terhadap COVID-19, pemudahcara perniagaan dan digitalisasi.
“AELM juga akan menyaksikan Malaysia menyerah tanggungjawab Pengerusi APEC 2021 kepada New Zealand,” katanya. – BH Online