KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan RM80 juta untuk tabung bencana pertanian, termasuk bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata bantuan itu akan memanfaatkan petani terdiri daripada pesawah, nelayan, pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP
Tengku Zafrul memaklumkan, bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dengan bayaran RM300 sebulan akan diteruskan tahun depan yang akan memanfaatkan 300,000 pekebun kecil seluruh negara.
Katanya, bayaran itu akan dibuat pada Disember tahun ini, Januari serta Disember tahun depan.
Kerajaan juga bercadang menaikkan kadar elaun sara hidup nelayan darat daripada RM200 kepada RM250 sebulan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peningkatan itu akan memanfaatkan seramai 3,400 nelayan darat berdaftar.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. – BH Online