KUALA LUMPUR – Masalah dalam sistem komunikasi dan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan, menjadi antara punca banyak insentif disediakan kerajaan tidak sampai kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas FAR Capital, Faizul Ridzuan, berkata perkara itu menyebabkan rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas berkaitan sesuatu perkara.
Sehubungan itu, beliau berkata, peruntukan bagi komunikasi amat penting untuk kerajaan memperkemaskan sistem penyampaian maklumat berkaitan insentif yang disediakan kerajaan dengan tepat.
“Sebelum ini kita ‘dimomokkan’ SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) lebih baik berbanding GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Sistem GST itu bagus, namun disebabkan kita tidak berkomunikasi dengan elok, maka orang rasa ia menekan.
“Lihat sahaja Singapura yang mengenakan GST sebanyak tujuh peratus, mampu memberi Geran Bantuan COVID-19 (CSG) untuk rakyatnya sehingga bulan Disember, disebabkan mempunyai rizab simpanan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Temu Minda: Belanjawan 2021 dan Anak Muda yang dihoskan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, yang disiarkan menerusi Facebook Live KKMM.
Turut ditampilkan sebagai ahli panel malam ini ialah Pengurus Serantau (Asia Pasifik) Internet Society, Aishah Shakirah Suhaidi.
Faizul, yang juga usahawan hartanah, berkata perkara sama turut berlaku dalam soal perumahan apabila rakyat sering membangkitkan tentang rumah mampu milik, sedangkan kerajaan menyediakan kemudahan itu.
Pada masa sama, beliau turut melihat Belanjawan 2021 sebagai belanjawan untuk orang muda, walaupun tidak dinyatakan secara jelas dan menyifatkannya lebih baik berbanding belanjawan sebelum ini.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi cadangan penubuhan Majlis Pekerjaan Malaysia yang bakal mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan, selain peruntukan RM1 bilion untuk 200,000 pelatih bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau ‘reskilling and upskilling.’
Aishah Shakirah pula berkata selain bantuan kewangan, golongan muda khususnya mahasiswa memerlukan bantuan Internet yang mudah, laju dan selamat pada harga berpatutan untuk mengharungi pembelajaran dalam kebiasaan baharu.
Katanya kes seperti yang dihadapi penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin bukanlah kes terpencil tetapi banyak berlaku di seluruh negara yang memerlukan kerajaan memperluaskan kemudahan jalur lebar dengan lebih efisien. – BERNAMA