KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak memfokuskan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini.
Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada menjaga kesihatan rakyat, kelangsungan ekonomi dan memastikan ketahanan ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, pelaksanaan semula GST itu bukanlah opsyen terkini dan kementeriannya akan mengkaji semua elemen berkaitan.
Katanya, ia termasuklah mempertingkatkan penguatkuasaan Multi Agency Task Force (MATF) untuk mengurangkan ketirisan hasil negara.
“Kita juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan struktur, memang kita sedang merangka bagaimana kita ingin memperluaskan hasil negara.
“Kita juga juga akan melaksanakan lebih tinggi governan kerana bagi kita yang lebih penting adalah governan.
“Itu sebabnya Menteri Kewangan amat komited untuk menggubal satu akta yang dinamakan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk menambahbaik pengurusan dan pelaburan fiskal,” katanya menjawab soalan tambahan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) dalam sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal mengenai kedudukan hutang semasa negara, Mohd Shahar berkata, pada akhir September 2020, hutang negara mencatat RM874.3 bilion atau 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, mengambil kira semua tanggungan sedia ada, secara keseluruhan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1,257 bilion atau 87.3 peratus daripada KDNK.
“Kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang kerajaan persekutuan secara teratur dan mengikut jadual,” katanya. – myMetro Online