PUTRAJAYA – Semua kementerian diarahkan mengemukakan perancangan pelaksanaan projek pembangunan untuk tahun 2021 kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum 31 Disember ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata perancangan ini termasuk jangkaan tarikh untuk panggilan tender dan permulaan kerja awal.
Beliau berkata, semua kementerian juga dikehendaki mengenal pasti beberapa masalah yang mungkin timbul.
“Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pembangunan bagi Tahun 2021 dipengerusikan secara bersama oleh saya dan KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.
“Mesyuarat itu diadakan bagi mencari kaedah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek sambungan dan memastikan projek baharu dapat segera dilaksanakan pada tahun hadapan kerana ia memberikan kesan pengganda amat besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, kerajaan turut mendapati langkah yang diambil untuk mempercepatkan perbelanjaan pembangunan (DE) melalui kelonggaran beberapa peraturan ketika PKP memberikan kesan positif kepada pelaksanaan projek.
“Mesyuarat hari ini mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur yang akan diteruskan pada tahun 2021.
“Kerajaan memperuntukkan RM69 bilion untuk DE dalam Belanjawan 2021, sebanyak 45 peratus daripadanya adalah projek sambungan dan 55 peratus untuk projek baharu.
“Tidak ada masalah untuk pelaksanaan 3,834 projek sambungan. Bagaimanapun perancangan awal dan teliti amat penting bagi memastikan 2,558 projek baharu dapat berjalan dengan lancar pada tahun depan,” katanya.
Tambahnya, peranan perbelanjaan sektor awam adalah kritikal dalam tempoh ini apabila pihak swasta khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran untuk menggerak dan memulihkan ekonomi. – BH Online