IPOH – Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) PAS dalam kerajaan negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengulas demikian apabila ditanya pemberita sama ada PAS akan berada dalam barisan lima lagi EXCO yang akan dilantik.
Saarani berkata, lima kekosongan kerusi EXCO itu akan dipenuhkan apabila tiba sudah masanya nanti.
“Kita akan penuhkan ia seperti mana sebelum ini, akan tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.
“Sebagai Menteri Besar saya hanya boleh mencadangkan nama EXCO, hak mutlak untuk memperkenankan cadangan dan pelantikan EXCO adalah Sultan Perak dan selepas diperkenan nama berkenaan barulah pelantikan akan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bagi secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak Ke-14 di sini hari ini.
Saarani berkata, pihaknya juga akan membuat kajian berhubung portfolio yang dipegang EXCO sebelum ini.

“Itupun saya akan buat kajian semula sebab berasaskan kepada sembilan bulan yang lalu sudah tentu kita akan membuat kajian tentang kesesuaian.
“Mungkin ada pengubahsuaian kepada portfolio dipegang bagi tujuan pembaikan, kalau ada apa-apa kelemahan dalam tempoh sembilan bulan yang lalu,” katanya.
Semalam, BH melaporkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengangkat sumpah jawatan EXCO di Istana Iskandariah.
Mendahului senarai adalah ADUN Sungai Manik yang juga Setiausaha BERSATU Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin diikuti empat ADUN UMNO iaitu ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.
Bagaimanapun tiada wakil ADUN PAS yang dilantik. – BH Online