KUALA LUMPUR – Rundingan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan Raya Umum Ke-15 hampir 90 peratus selesai, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, rundingan kerusi dalam BN dipengerusikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah berjalan tiga kali.
“Rundingan itu berjalan mengikut beberapa peringkat, kita ada peringkat satu, dua dan tiga dan keseluruhannya saya boleh kata 90 peratus itu sudah selesai,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi untuk pilihan raya oleh BN dengan UMNO dan PAS.
Annuar menjelaskan rundingan antara UMNO dan PAS mengenai perkara yang sama pula 60 hingga 70 peratus sudah selesai yang mana dipersetujui UMNO akan bertanding di 55 kerusi yang dimilikinya dan PAS tidak akan meletakkan calonnya.
“Kita juga setuju bahawa 18 kerusi PAS tidak akan ditandingi UMNO dan kawasan yang kedua-dua parti gagal pertahankan, jika undi UMNO lebih maka UMNO bertanding dan PAS tidak akan bertanding begitu juga dengan PAS, jika undi mereka lebih, maka UMNO tidak akan bertanding.
“Perbincangan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pula akan menyusul kemudian,” katanya.
Mengulas lanjut rundingan BN dan PN, katanya pada perbincangan dalam penyelesaian penubuhan Kerajaan Negeri Perak, dipersetujui rundingan mengenai pengagihan kerusi untuk kawasan pilihan raya bagi PRU-15 perlu dipercepatkan.
Justeru, kata kedua-dua parti bersetuju diwujudkan urusetia bagi merangka perundingan membabitkan semua parti dalam gabungan berkenaan.
“Kita berhasrat mengadakan perundingan awal sama ada hujung minggu ini atau awal minggu depan,” katanya mengakui kedua-dua parti sudah memulakan rundingan tidak rasmi mengenai perkara itu.
Beliau menegaskan rundingan rasmi belum diadakan lagi dan kedua-dua parti memerlukan lebih banyak perbincangan berhubung pengagihan kerusi yang mengambil kira semua aspek berkaitan.
Mengulas lanjut, katanya proses rundingan mengenai kerusi memang memakan masa dan yang penting semua parti bersetuju tidak bertanding sesama sendiri dan berhadapan dengan Perikatan Harapan (PH) sebagai satu lawan satu.
Sementara itu, ditanya mengenai ada bantahan di peringkat kepimpinan bahagian UMNO yang tidak mahu berkompromi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), katanya beliau memahami perkara itu dan parti terbuka menerima dan mendengar pandangan semua pihak.
Namun, katanya akhirnya semuanya bergantung kepada keputusan rasmi parti bukannya pandangan Presiden atau Pengerusi parti.
“Banyak kali diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa sesiapa bebas menyatakan pandangan tetapi keputusan akhir diputuskan MKT.
“UMNO ada 119 bahagian sudah pasti ada yang tidak gembira dengan BERSATU begitu juga dengan PAS, begitu juga ada orang PAS dan BERSATU tidak setuju dengan kita, itu normal.
“UMNO dan kepimpinan BN serta PN kini lebih kerap berhubung dan saya percaya kerjasama antara kami kini lebih utuh,” katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku undi tidak percaya di Sabah dan Johor, katanya beliau percaya ia tidak akan berlaku berikutan persefahaman antara parti ketika ini.
Mengulas khabar angin kemungkinan wujud kerjasama antara kem Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Annuar berkata, politik Malaysia dinamik dan melalui pelbagai kemungkinan sejak kebelakangan ini dan beliau percaya ia hanya sebagai satu khabar angin selagi ia tidak berlaku.
Ditanya mengenai ada Akuan Bersumpah (SD) baharu yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, perkara itu masih samar kerana ia hanya khabar angin selagi ia tidak dibuktikan.
“Khabar angin ini seakan sengaja cuba menguji kepercayaan sesama kami dan kita tidak boleh melayani khabar angin, …banyak kali Anwar kata ada dapat banyak sokong ada SD,” katanya. – BH Online