KUALA LUMPUR – Tiga nama disebut-sebut untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak baharu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya antara yang layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi itu berdasarkan pengalaman mereka, menurut sumber.
Turut difahamkan, antara nama yang disebut sekiranya kerajaan campuran terbentuk adalah Ketua Pembangkang yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan ADUN Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari, namun tiada pengesahan mengenai perkara itu.
Sebelum ini, ketika pensejajaran semula kerajaan negeri itu Mac lalu, UMNO negeri mempersembahkan nama Saarani kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah ahli politik berpengalaman dan pernah berada dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah dua Menteri Besar iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini.
Manakala Shahrul Zaman yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor juga adalah bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia satu ketika dulu.
Dia dikatakan mampu menggalas tugas Menteri Besar berdasarkan pengalamannya di dalam politik serta parti.
Selain itu, Dr Abdul Aziz Bari juga antara yang tersenarai sebagai calon Menteri Besar sekiranya kerajaan campuran antara UMNO dan DAP terbentuk di Perak.
Sementara itu, PAS berpendirian tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga ADUN PAS menyokong Ahmad Faizal selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat.
“Selaras dengan keputusan ini, PAS Pusat membuat ketetapan tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri baharu.
“PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.
Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).
Pada 12 Mei 2018, Ahmad Faizal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri.
Majlis pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, pada 10 Mac lalu beliau meletak jawatan apabila Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan yang mengakibatkan kerajaan PH tergugur di Perak.
Beliau mendapat perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Perak ke-13 dan mengangkat sumpah jawatan pada 13 Mac 2020 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak. – myMetro Online