IPOH – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin calon Menteri Besar Perak yang baharu dari UMNO, mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Majoriti Insya-Allah,” kata Presiden UMNO itu ketika sidang media selepas selesai menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, hari ini.
Ahmad Zahid menghadap Sultan Nazrin pagi tadi bagi memohon perkenan Sultan Nazrin mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.
Turut dilihat memasuki Istana Kinta pagi tadi ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, yang disebut-sebut dicalonkan UMNO untuk menduduki jawatan Menteri Besar.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu menegaskan calon Menteri Besar itu akan diumumkan Sultan Nazrin.
“Alhamdulillah saya diperkenankan Sultan Nazrin untuk menghadap dan mempersembahkan surat memohon untuk berkenan bagi mempertimbangkan calon Menteri Besar Perak.
“Pengumuman untuk calon Menteri Besar Perak itu akan dibuat Tuanku sendiri dan kenyataan selepas ini hanya akan dikeluarkan oleh pihak istana.
“Saya menjunjung titah Tuanku yang hak mencalonkan itu hak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi hak untuk mengumumkan calon itu adalah hak mutlak Tuanku dan istana akan memaklumkannya,” katanya.
Ahmad Zahid turut yakin calon yang dipersembah kepada Sultan Nazrin mendapat majoriti yang mencukupi termasuk dari PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Itulah yang kita persembahkan (majoriti) dan saya sangat yakin majoriti sokongan itu lebih daripada mencukupi.
“Saya menyatakan seboleh mungkin kita mempertahankan kesepakatan PN, ertinya kerjasama pembentukan kerajaan ini adalah antara UMNO, BERSATU dan PAS,” katanya. – BH Online