KUALA LUMPUR – Siasatan awal terhadap gudang di Senai yang didakwa terbabit dalam kegiatan ‘kartel’ dan penipuan logo halal tidak menemui daging babi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, ketika mengesahkan perkara itu berkata pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti, keterangan dan merakam percakapan saksi berkaitan.
Selain itu, katanya, proses mendapatkan maklumat dan dokumen lain daripada agensi berkaitan giat dijalankan.
“Kes akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya selepas siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan awal kerajaan untuk menangani isu ini ialah dengan mengeluarkan arahan kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara pada 4 Disember lalu.
“Ini untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong dan pengedar produk daging sejuk beku.
“Pemeriksaan dijalankan secara bersepadu dengan agensi lain khususnya dengan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai perkembangan siasatan dan langkah tegas kerajaan dalam menangani kes kartel daging import haram, di Senai, Johor.
Media pada 3 Disember lalu melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal palsu serta menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Alexander berkata siasatan terhadap kes yang mengundang keresahan pelbagai pihak dan sensitiviti masyarakat itu sedang dijalankan mengikut Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Jika disabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
“Siasatan lanjut juga akan dijalankan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 sekiranya didapati sumber produk itu diperoleh daripada sumber atau daging yang tidak halal.
“Bermula dari 4 hingga 6 Disember lalu, sejumlah 128 premis diperiksa dan tiada tindakan kes diambil, selain kes awal di Johor.
“Kementerian tiada kompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perbahasaan halal secara palsu untuk memperdaya serta mengelirukan pengguna, sehingga menyebabkan hak dan kepentingan mereka terjejas,” katanya. – BH Online