KANGAR – Polis akan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan tiga suspek terbabit insiden serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang masih berada di Thailand dapat dibawa ke negara ini secepat mungkin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga suspek warga Thailand termasuk salah seorang dipercayai ketua kumpulan terbabit diperlukan bagi meneruskan siasatan yang sedang dilakukan pihak berkuasa Malaysia.
Jelasnya, pasukan khas terbabit akan berhubung dan berbincang bersama Jabatan Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Polis Diraja Thailand bagi membantu usaha membawa suspek berkaitan.
“Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad sudah beberapa kali berhubung dan mengadakan perbincangan bersama polis Thailand berkaitan tiga suspek yang masih berada di negara itu, tetapi tiada kata putus diberikan.
“Kita dimaklumkan mereka (polis Thai) akan berhubung dengan pihak di Bangkok sebelum keputusan sama ada menyerahkan suspek atau tidak dapat dibuat.
“Kita akan bawa perkara ini ke Bukit Aman dan tubuhkan pasukan khas untuk berhubung dengan kedutaan, pihak Polis Thailand di Bangkok dan mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama pegawai kanan JSJ Bukit Aman mengadakan mesyuarat bersama Surina bagi membincangkan kejadian serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, 26 November lalu.
Huzir menegaskan, adalah penting bagi ketiga-tiga suspek dibawa ke negara ini kerana salah seorang daripadanya adalah ketua yang menjadi perancang kepada kegiatan jenayah di sempadan.
“Kita memang memerlukan mereka supaya tindakan boleh diambil di negara di mana tempat berlakunya kejadian anggota PGA Batalion 3 terbunuh dan seorang parah.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek ditahan kerana operasi masih dilakukan dan kita berharap hasilnya akan memberi kesan positif,” katanya.
Setakat ini, seramai 22 suspek termasuk empat warga Thailand ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.
Sementara itu, Surina memaklumkan pihaknya akan menyerahkan 15 suspek warga tempatan kepada polis Kedah berikutan mereka disyaki mempunyai kaitan dua kes serangan ke atas anggota PGA di Bukit Kayu Hitam pada 13 dan 26 November lalu.
“Reman ke atas 15 suspek terbabit akan disambung dan mereka akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kedah bagi meneruskan siasatan terperinci.
“Kita percaya mereka ini mempunyai kaitan dalam dua kes tembakan yang dilepaskan dari sebelah sana ke arah anggota PGA,” katanya.
Dalam kejadian serangan pada 3.10 pagi berdekatan Padang Besar minggu lalu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah dan masih dirawat. – BH Online