Saturday, November 23, 2024

Creating liberating content

Pistol Dijumpai Di Dalam...

SEREMBAN - Sepucuk pistol dijumpai di dalam sebuah tong gas di sebuah syarikat...

Tiada Kaitan Letupan Bom...

BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkan serangan bom...

Curi Telefon Bimbit, Pengawal...

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipenjara lima bulan oleh Mahkamah...

Rakyat Pentingkan Pencapaian, Bukan...

JOHOR BAHRU – Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan satu logo atau simbol...

Ujian Itu Sahabat Orang Beriman

VISI setiap Rasul Tuhan ialah tertegaknya Din al-Haqq (Din al-Islam) ciptaan Tuhan dalam hidup dan kehidupan umat manusia, sehingga akan terciptanya sebuah tatanan kehidupan yang seimbang, harmoni, penuh kedamaian dan kesejahteraan bagi semua makhluk di alam semesta (rahmatan lil ‘alamin). Namun demikian, akar atau dasar daripada sistem hukum universal yang benar itu yakni Din al-Haqq ialah keimanan kepada Sang Pemilik sistem. 

Seluruh Nabi dan Rasul Tuhan dalam setiap awal misi perjuangannya selalu mengajak bangsanya untuk kembali kepada kalimat tauhid, yakni lā ilaha illa Allah; bahawa tidak ada ilah (tuan) yang layak untuk ditaati kehendak dan perintah-Nya kecuali Tuhan Semesta Alam, Tuhan Yang Maha Esa. Dalam bahasa lain, tidak ada tuan yang layak dipertuankan kecuali Tuan Semesta Alam. Segala makhluk yang ada di alam semesta ini ialah hamba manakala Dia ialah Sang Tuan. Tidak boleh ada manusia di muka bumi ini yang menjadi tuan atau dipertuankan oleh manusia lainnya hanya kerana memiliki kelebihan tertentu seperti kekuasaan, harta dan pengetahuan. Kalimat tauhid inilah yang selalu menjadi akar tunjang bagi akidah setiap orang beriman atau komuniti orang-orang beriman.

Kesaksian akan ke-Maha Esa-an Tuhan ini pula menjadi dasar bagi setiap fikir, kata dan perilaku orang-orang beriman dalam kehidupannya. Jika akar tauhid ini tercabut daripada kesedaran iman manusia, maka manusia akan kembali kepada kehidupan syirik, yakni kehidupan yang ber-ilahatau menghambakan diri kepada tuan-tuan selain Dia. Manusia akan kembali pada kehidupan yang tidak fitrah (najis), kehidupan yang hanya berpangkal pada hal-hal kebendaan. Akibatnya, manusia akan berubah menjadi makhluk yang lebih hina daripada binatang ternak, bahkan lebih kejam daripada binatang buas. Kehidupan manusia akan dikuasai oleh nafsu serakah yang selalu berlindung di sebalik topeng-topeng politik, hukum, ekonomi, sosial dan agama.  

Inti daripada keimanan seseorang kepada Tuhan, Sang Pencipta dan Pengatur hidup dan kehidupan ialah kesedaran tentang kesaksiannya akan ketauhidan Tuhan, bahawa “Tidak ada ilah yang patut untuk ditaati kehendak dan perintah-Nya selain Tuhan Semesta Alam” (lā ilaha illa Allah). Kesedaran ini kemudian dipersaksikan secara lisan dalam satu kalimat tauhid, “Saya bersaksi bahawa tidak ada ilahselain Tuhan; Asyhadu anlā ilaha illa Allah”. Kesedaran dan kesaksianini menjadi ikrar (perjanjian) yang telah mengeluarkan manusia daripada kesedaran dan lingkungannya yang musyrik (najis) menuju satu kesedaran dan lingkungan spiritual yang baharu, yakni kesedaran yang menafikan segala bentuk kepatuhan dan kecintaan pada isme-isme atau ideologi bangsa yang musyrik (nasionalis pluralis). Proses kembalinya seorang manusia kepada fitrahnya menjadi hamba Sang Tuan Semesta Alam disebut juga sebagai proses kelahiran manusia yang kedua, iaitu kelahiran spiritual (ruh) sebagai lanjutan daripada kelahiran pertama secara biologi. 

Kesedaran dan kesaksian tentang kalimat, “Saya bersaksi…” bererti orang tersebut telah menyaksikan dan menjadi saksi bahawa “Tidak ada ilahselain Tuhan”. Seseorang tidak akan dapat bersaksi atau menjadi saksi bila mana dia tidak mengetahui apa yang dipersaksikannya. Sekalipun dia bersaksi, maka saksinya palsu atau dia menjadi saksi palsu. Dia tidak mengetahui apa kehendak dan perintah Tuhan, tetapi dia berani bersaksi tentang Tuhan. Begitu juga dia tidak mengetahui apa visi dan misi Muhammad sebagai Rasul Tuhan tetapi dia berani bersaksi tentang Rasulullah Muhammad. Inilah perilaku iman orang-orang munafik atau orang-orang yang hanya merasa atau mengaku telah beriman. Oleh itu, tidak hairan jika ucapannya berbeza dengan perbuatannya.

Satu teguran daripada Tuhan kepada Rasul dan orang-orang beriman untuk memperhatikan manusia yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada Rasul dan kepada apa yang diturunkan sebelum itu. Mereka ini telah diperintahkan untuk mengingkari taghut tetapi mereka tetap mahu berhakim kepada taghut walaupun sudah dilarang oleh Tuhan. Sesungguhnya setan bermaksud untuk menyesatkan mereka sejauh-jauhnya dari jalan Tuhan.

Di antara manusia, ada juga yang mengatakan bahawa mereka beriman kepada Tuhan dan Hari kemudian sedangkan mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang-orang yang beriman, padahal mereka tidak sedar bahawa mereka hanya menipu diri mereka sendiri. Dalam qalbu mereka ada penyakit (kemusyrikan) lalu Tuhan menambahkan lagi penyakit itu dalam qalbu mereka. Itulah seksaan yang pedih kerana mereka telah berdusta kepada Tuhan dan orang-orang yang beriman. 

Dalam kehidupan sosial keagamaan kita, iman selalu difahami sebagai sesuatu yang sudah diberikan sejak lahir dan menjadi sesuatu yang diwariskan secara turun temurun. Jika itu benar, tentu kita tidak akan mendengar fakta adanya anak seorang Rasul Tuhan yang tidak beriman atau seorang Nabi dan Rasul Tuhan yang memiliki bapa dan isteri yang kafir musyrik. Iman bukanlah barang yang dapat diwariskan secara turun-temurun. Iman kepada Tuhan juga bukan bererti sekadar percaya akan adanya Dia dan meyakini-Nya sebagai Pencipta langit dan bumi. Iman itu bukanlah sekadar kepercayaan. Orang-orang kafir sekalipun percaya bahawa Tuhan itu Pencipta langit dan bumi. 

Jika ditanya kepada orang kafir-musyrik tentang siapakah pemilik bumi dan semua yang ada pada bumi itu, pasti mereka akan menjawab bahawa semuanya kepunyaan Tuhan. Adakah mereka tidak ingat apa yang mereka katakan? Jika ditanyakan tentang siapakah Yang Empunya langit yang tujuh dan Yang Empunya ´Arsy yang besar, mereka akan menjawab bahawa semuanya kepunyaan Tuhan. Adakah mereka tidak merasa takut? Dan jika ditanyakan kepada mereka, pada tangan siapakah adanya kekuasaan atas segala sesuatu dan Dia melindungi apa yang berada di bawah kekuasaan-Nya? Mereka akan menjawab bahawa semuanya kepunyaan Tuhan. Dan adakah mereka mengetahui bahawa jika Tuhan ingin menjatuhkan azab, tidak ada yang dapat berlindung daripada terkena azab-Nya? Jika semuanya kepunyaan Tuhan, bagaimanakah mereka dapat ditipu sehingga menjadi kafir terhadap kekuasaan Tuhan? 

Tuhan berfirman kepada Rasul agar bertanya kepada kaum yang kafir itu tentang siapakah yang menciptakan langit dan bumi. Maka pasti mereka menjawab: “Tuhan”. Maka Rasul meminta agar mereka menjelaskan kepadanya tentang apa yang diseru oleh mereka selain Tuhan. Adakah berhala-berhala itu dapat menghilangkan kemudaratan jika Tuhan hendak mendatangkan kemudaratan kepada Rasul? Dan adakah jika Tuhan hendak memberi rahmat kepada Rasul, berhala-berhala itu dapat menahan rahmat-Nya? Rasul berkata bahawa cukuplah Tuhan yang satu bagi dirinya dan kepada Tuhanlah orang-orang yang berserah diri bertawakal. 

Iblis pernah berdialog dengan Tuhan tetapi dia juga tetap dikatakan sebagai orang yang kafir.  Kisah Iblis yang berdialog dengan Tuhan ialah ketika Tuhan bertanya kepada Iblis tentang apakah sebab yang menghalangnya untuk tidak mentaati Adam ketika diperintahkan oleh Tuhan. Iblis mengatakan yang dia lebih baik daripada Adam kerana Tuhan telah menciptakannya daripada ‘api’ sedangkan Adam pula diciptakan daripada ‘tanah’. Maka Tuhan memerintahkan Iblis turun dari ‘syurga’ itu kerana di dalam syurga sepatutnya tidak ada yang menyombongkan diri. Maka Iblis keluar dari syurga dan sesungguhnya Iblis itu termasuk orang-orang yang hina. Iblis meminta tangguh daripada Tuhan sehingga sampai hari kebangkitan.

Tegasnya, percaya akan adanya Tuhan sebagai Pencipta alam semesta, belum cukup untuk dikatakan sebagai orang mukmin yang sejati. Sekali lagi, iman ialah kesedaran dan sikap spiritual seseorang akan apa yang diimaninya. Iman ialah komitmen kesetiaan seseorang akan ketaatan dan kecintaannya kepada Tuhan sebagai satu-satunya Pencipta, Pengatur, Penguasa dan Pemimpin dirinya dalam kehidupan ini. Sehingga apa pun yang menjadi kehendak dan perintah Tuhan, siap untuk dilaksanakannya walaupun harus berkorban harta dan diri atau mengorbankan segala apa yang dicintainya. Inilah esensi iman yang diajarkan dan dicontohkan oleh semua Rasul Tuhan dalam Al-Quran. Sikap tunduk patuh (aslama) kepada Tuhan ialah hasil keimanan sejati seorang mukmin. Lalu apakah kaitannya dengan renungan kali ini? 

Mengangkat sumpah setia atau kesaksian tentang Tuhan dan Rasul-Nya sebenarnya hanyalah sebuah permulaan keimanan seseorang dan belum dapat disebut orang yang benar-benar telah beriman. Pernyataan sikap spiritual tersebut masih perlu dibuktikan dalam perjalanan hidup dan kehidupannya. Bentuk kecintaan dan kesetiaan seseorang yang telah bersaksi kepada Tuhan dan Rasul-Nya masih harus dibuktikan melalui berbagai-bagai ujian keimanan. 

Adakah manusia merasakan bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan bahawa mereka telah beriman sedangkan mereka belum diuji lagi? Tuhan telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhan mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.

Ini menegaskan bahawa; pertama, tidak seorang pun yang telah menyatakan keimanannya kepada Tuhan yang tidak akan menerima ujian daripada-Nya. Ujian ialah sesuatu yang tidak ada pengecualiannya bagi orang-orang beriman kerana dengan ujian tersebut Tuhan akan menyaring orang-orang mukmin, yang mana benar-benar menjadi mukmin sejati dan mana yang hanya berdusta atau menjadi saksi palsu. 

Kedua, bahawa ujian yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka yang beriman ialah sesuatu yang sudah menjadi ‘tradisi Tuhan’ atas orang-orang beriman. Sejak zaman dahulu, Dia telah menguji semua orang yang mengaku beriman kepada-Nya. Tuhan akan menguji orang-orang beriman saat ini seperti Dia telah menguji orang-orang beriman sebelumnya. Dengan demikian, seluruh ujian yang telah diberikan kepada mereka yang beriman pada zaman dahulu akan diberikan pula kepada mereka yang beriman pada zaman ini. Hal ini logik, kerana jalan Tuhan yang ditempuh oleh mereka yang beriman ialah jalan yang sama iaitu Siratulmustakim. Maka segala bentuk ujian dan penderitaan yang dahulunya dialami oleh mereka yang berjalan pada jalan Tuhan, juga akan dialami oleh mereka yang berjalan pada jalan-Nya pada zaman ini. Ini sekali gus menjadi tanda akan kebenaran iman mereka dan jalan yang ditempuhnya. Jika anda mengaku beriman dan berjalan pada jalan Tuhan, maka anda pasti akan mengalami segala bentuk ujian dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang beriman pada zaman Rasulullah Musa, Isa dan Muhammad S.A.W. Jika tidak, maka keimanan dan jalan hidup anda wajar dipersoalkan. 

Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan masuk jannah (syurga), padahal belum diberikan ujian sebagaimana yang diberikan kepada orang-orang terdahulu sebelum mereka? Orang-orang terdahulu telah ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan berbagai-bagai cubaan sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya pun bertanya bilakah pertolongan Tuhan akan datang. Sesungguhnya pertolongan Tuhan itu amat dekat. 

Hal ini menegaskan kembali betapa ujian keimanan itu ialah sesuatu yang mutlak. Seorang Rasul Tuhan yang tidak diragukan keimanannya sekalipun, tidak lepas daripada ujian-Nya. Ayat ini juga menggugurkan fahaman yang mengatakan bahawa siapa pun yang telah bersyahadat kepada Tuhan dan Rasul-Nya, maka dia dijamin masuk jannahTuhan. Untuk dapat menjadi penghuni jannahtidak boleh hanya dengan ritus-ritus dan zikir semata. Malah diperlukan pengorbanan yang jauh lebih besar daripada itu. 

Seseorang itu tidak akan masuk ke jannah (syurga), sebelum nyata bagi Tuhan siapa yang berjihad dan sebelum nyata siapa orang yang sabar. 

Adakah manusia merasakan Tuhan akan membiarkan saja sebelum Dia mengetahui secara nyata siapa orang-orang yang berjihad dan tidak mengambil teman yang setia selain Tuhan, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman? Dan Tuhan Maha Mengetahui apa yang manusia kerjakan.

Apakah pula bentuk ujian yang akan diberikan Tuhan kepada orang-orang beriman atau mereka yang berjalan pada Jalan Kebenaran Tuhan (Siratulmustakim)? Tentu saja bentuk ujiannya ialah ujian pada keimanan mereka. Secara umum dapat kita bahagikan dalam dua kategori, pertama, ujian atas kesetiaan dan kecintaan mereka kepada Tuhan dan Rasul-Nya. Dan kedua, ujian atas visi misi yang digalas oleh mereka dalam menegakkan din al-haqq (Din al-Islam) sebagai sistem hukum yang berlaku dalam kehidupan umat manusia. Jadi, ujian itu boleh bersifat peribadi atau bersama-sama. Mari kita renungi satu persatu. 

Pertama, secara peribadi, setiap orang beriman sama dengan manusia biasa yang lainnya, yang memiliki rasa cinta atau syahwat (keinginan) terhadap kehidupan material. Sehingga sering kali hal-hal yang bersifat kebendaan ini menyebabkan orang beriman lalai dan tidak sabar dengan ujian yang diberikan oleh-Nya. Misalkan saja sifat pemilikan akan sesuatu yang menjadikan manusia beriman lupa untuk mengeluarkan apa yang menjadi hak Tuhan. 

Hal-hal material yang sering kali menjadi batu ujian atau batu sandung bagi setiap orang beriman ialah wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Inilah perkara yang diingini dan dicintai oleh manusia dan sentiasa nampak indah pada pandangan manusia. Tapi itu hanyalah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Tuhanlah tempat kembali yang baik iaitu syurga. 

Berbagai macam hiasan duniawi yang bersifat material tersebut ialah sesuatu yang dicintai oleh manusia secara fitrah. Kerana sifatnya yang fitrah, maka hal-hal tersebut sering membuat orang beriman lalai akan peringatan dan ujian Tuhan. 


Sudah menjadi fitrah untuk mencintai isteri-isteri dan anak-anak namun Tuhan mengingatkan bahawa isteri-isteri dan anak-anak boleh menjadi musuh atau dengan kata lain menjadi ujian bagi orang beriman. Maka orang beriman harus berhati-hati terhadap mereka. Sesungguhnya harta dan anak-anak hanyalah cubaan dari Tuhan dan di sisi-Nyalah ganjaran yang besar. 

Ada banyak contoh yang dikisahkan oleh Tuhan dalam Al-Kitab dan Al-Quran tentang anggota keluarga yang harus berpisah dengan anggota keluarganya yang lain kerana berbeza akidah. Bahkan jika sudah terkait urusan iman, Tuhan mengizinkan seorang anak untuk ‘derhaka’ terhadap orang tuanya yang musyrik. 

Menjadi kewajipan bagi manusia untuk berbuat kebaikan kepada dua orang ibu bapa. Namun jika mereka memaksa untuk mempersekutukan Tuhan, maka manusia dilarang mengikuti kedua-dua ibu bapanya. Bergaullah dengan mereka berdua di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada Tuhan. Hanya kepada Tuhanlah manusia akan dikembalikan.

Jika dalam menjalani ujian keimanan tersebut anda lebih memilih setia dan cinta kepada hal-hal material di atas, termasuk lebih mementingkan kepentingan peribadi dan keluarga dibandingkan kepentingan Tuhan dan Rasul-Nya, maka itu bererti anda tidak lulus ujian-Nya dan anda kembali kepada habitat yang lama, menjadi manusia rendahan dan murahan. Mengapakah demikian? Kerana hanya disebabkan urusan material atau urusan peribadi yang nilainya sangat kecil di hadapan-Nya, anda berani menduakan dan meninggalkan Dia, yakni melanggar apa yang diperintahkan oleh-Nya. 

Kedua, jika mengkaji ayat-ayat Al-Quran, maka akan terlihat dengan jelas berbagai ujian keimanan yang diberikan-Nya kepada mereka (komuniti atau umat) yang berjalan pada Jalan Kebenaran-Nya. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai kisah para Nabi dan Rasul Tuhan, termasuk kisah Rasulullah Muhammad dan pengikutnya yang menjalani ujian demi ujian hingga akhirnya Dia memberi kepada mereka anugerah yang sangat besar (ajran ‘adziman), iaitu kekuasaan di muka bumi. 

Setiap Nabi dan Rasul Tuhan selalu mengawali misinya dengan melakukan dakwah, yakni mengajak manusia untuk kembali kepada fitrahnya menjadi hamba Tuhan, menjadi manusia merdeka, bukan diperbudakkan oleh hawa nafsunya atau diperbudakkan oleh manusia lain. Tugas ini wajar dilaksanakan walau apa pun risikonya. 

Rasul diseru agar menyampaikan apa yang telah diturunkan Tuhan kepadanya. Tuhanlah yang memeliharanya daripada gangguan manusia. Jika Rasul tidak mengerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti Rasul itu tidak menyampaikan amanat Tuhan. Sesungguhnya Tuhan tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir (ingkar). 

Sesungguhnya Tuhan telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat untuk menyeru agar manusia mengabdi kepada Tuhan saja dan menjauhi Taghut.  Antara umat itu ada yang diberi petunjuk oleh Tuhan dan ada pula yang telah pasti kesesatan bagi mereka. Tanda-tanda pengakhiran bagi orang yang mendustakan rasul-rasul itu telah terjadi dan ada di muka bumi ini. 

Sebagai hasil daripada dakwah para Rasul Tuhan, maka terbentuklah dua kumpulan komuniti besar umat manusia, yakni komuniti orang-orang beriman (orang-orang yang membenarkan apa yang disampaikan oleh para Rasul Tuhan tentang firman-Nya) dan komuniti kafir-musyrik (orang yang menolak dan menentang misi risalah yang disampaikannya). Tentu saja hal ini menjadi batu ujian bagi para Rasul dan orang-orang beriman, kerana pada umumnya semua penguasa dan majoriti penduduk bangsanya menolak dakwah mereka. Bahkan penghujung periode perjuangan dakwah para Rasul Tuhan dan orang-orang beriman ialah hijrah (eksodus), terusir dari kampung halamannya menuju negeri (daerah) yang sudah bersedia menerima dan menegakkan misi risalah Tuhan. Hijrah ialah ujian puncak daripada fasa keimanan komuniti orang-orang beriman. Jika mereka berhasil melaksanakan hijrah demi mempertahankan keimanan mereka, barulah Tuhan memanggil mereka dengan sebutan ‘orang-orang yang telah beriman’. Hijrah merupakan jalan damai yang harus dilalui oleh para Rasul dan umatnya kerana mereka tidak ingin berlawan dengan kelompok mainstreamdan penguasa. Lebih baik mereka keluar dari negerinya daripada harus kembali beriman kepada ideologi bangsanya yang musyrik.

Hal ini sudah menjadi tradisi yang berlaku bagi mereka yang berjalan pada jalan Tuhan (Sunnatullah), sunnah bagi para Nabi dan Rasul-Nya. Semua Rasul Tuhan menjalani ujian hijrah tersebut seperti dikisahkan dalam Al-Kitab dan Al-Quran dengan bahasa yang indah. 

Orang-orang kafir berkata kepada rasul-rasul yang diutus kepada mereka bahawa mereka benar-benar akan mengusir rasul-rasul itu dari negeri mereka atau para rasul itu harus kembali kepada din mereka. Tuhan berfirman bahawa Dia pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu dan Tuhan pasti akan mengembalikan para rasul dan orang-orang beriman itu ke negeri-negeri itu sesudah mereka diusir. Itulah janji Tuhan untuk orang-orang yang takut akan kehadiran-Nya dan yang takut kepada ancaman-Nya.

Orang-orang yang berhijrah kerana Tuhan sesudah mereka dianiaya, pasti Tuhan akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia ini. Dan sesungguhnya ganjaran di akhirat adalah lebih besar sekiranya mereka mengetahui. Mereka itulah orang-orang yang sabar dan mereka hanya bertawakal kepada Tuhan sahaja.

Bumi Tuhan ini amatlah luas untuk didiami dan dimakmurkan, sehingga tidak ada alasan bagi orang-orang beriman untuk tidak menjalani ujian iman tersebut (hijrah). Bagi mereka yang tidak lulus dalam ujian hijrah, maka neraka jahannam akan menjadi tempat mereka.

Ketika orang-orang yang meninggal dunia dalam keadaan menganiaya diri sendiri iaitu tidak berhijrah, malaikat bertanya mengapa mereka tidak ikut berhijrah. Lalu mereka menjawab bahawa mereka ialah orang-orang yang tertindas di negeri Mekah. Lalu para malaikat berkata bukankah bumi Tuhan itu luas sehingga mereka dapat berhijrah di bumi itu. Orang-orang itu tempatnya ialah di neraka Jahannam dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali. Namun ada pengecualian kepada lelaki, wanita ataupun anak-anak yang tertindas yang tidak berdaya dan tidak tahu jalan untuk berhijrah.

Dalam menjalani proses hijrah tersebut, tentu saja orang-orang beriman mengalami banyak perkara kerana ramai daripada mereka terpaksa meninggalkan keluarga dan harta benda mereka sehingga perlaksanaan mereka mengalami krisis kewangan.

Telah dinyatakan bahawa Tuhan akan memberikan cubaan kepada orang-orang beriman dalam bentuk diberikan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Orang-orang yang bersabar dengan ujian tersebut iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillāhi wa innā ilaihi rāji´ūn”. Tuhan akan memberikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar itu.

Setelah menjalani proses ujian hijrah tersebut, maka ujian seterusnya yang perlu dijalani oleh mereka yang berjalan di jalan-Nya ialah fasa jihad, yakni tahap ujian keimanan dalam bentuk berperang melawan musuh-musuh Tuhan dan Rasul-Nya. Namun, peperangan yang diizinkan dan diwajibkan oleh-Nya bukanlah peperangan atas dasar emosional atau balas dendam, tetapi dalam rangka membela atau mempertahankan diri dan iman mereka daripada serbuan musuh-musuh Tuhan. Orang-orang beriman tidak akan berperang sekiranya mereka tidak diserang atau diperangi. Haiwan sekalipun jika sudah merasa terancam, maka dia akan bangkit melawan serangan lawannya dengan ‘senjata’ yang dimilikinya, apatah lagi orang-orang beriman. Jihad ini sekali gus menjadi amal soleh bagi mereka dan menjadi syarat untuk mendapatkan ajran atau ganjaran (bukan pahala) daripada-Nya. Adapun kemenangan demi kemenangan yang diperoleh oleh orang-orang beriman datangnya daripada pertolongan Tuhan. Hal ini menjadi keyakinan dan berita gembira bagi pejuang-pejuang mukmin 

Tuhan telah menetapkan bahawa Dia dan Rasul-rasul-Nya pasti menang. Sesungguhnya Tuhan Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Tak akan ada kaum yang beriman pada Tuhan dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Tuhan dan Rasul-Nya walaupun orang-orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Tuhan akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Tuhan reda terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap limpahan rahmat-Nya. Mereka itulah yang dikatakan sebagai golongan Tuhan (hizbullah) dan sesungguhnya hizbullahitulah golongan yang beruntung (menang).

Namun sekiranya bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang diusahakan, perniagaan yang dikhuatiri akan kerugian dan tempat tinggal yang disukai menjadi sesuatu yang lebih dicintai daripada Tuhan dan Rasul-Nya dan lebih disukai daripada berjihad di jalan Tuhan, maka Tuhan pasti akan memberikan keputusan-Nya. Tuhan tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. 

Dapat disimpulkan, dalam perjalanan perjuangan para Rasul Tuhan dan umat beriman bermula daripada fasa dakwah, hijrah (eksodus) dan jihad di jalan-Nya, hingga mencapai kemenangan dan mendapat nikmat dari Tuhan, semuanya ialah perjalanan ‘ujian’ dari Tuhan. Ujian demi ujian bagi orang-orang beriman merupakan cara atau metode Tuhan dalam membentuk karakter peribadi dan umat yang benar-benar bersedia untuk menjadi ‘pemimpin dunia.

Akhirnya, jika anda benar-benar orang beriman yang sebenarnya, maka jangan pernah lari daripada ujian Tuhan. Berbahagialah jika ujian-Nya masih menyertai kehidupan anda dan masih menemani perjuangan anda kerana itu ialah tanda cinta daripada-Nya. Jadikan ujian daripada-Nya sebagai sahabat terindah dalam hidup dan kehidupan anda. Dan untuk dapat berhasil menjalani semua ujian-Nya, anda harus selalu berada dalam keadaan zikir iaitu sedar tentang Dia, sabar dan tawakal.

Oleh: Muhammad Shahid Zainal

Kategori