SHAH ALAM – “Ramai yang minta komen. Saya tiada apa komen buat masa ini. Tempoh bertenang,” demikian respon Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu pemecatan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) pada Selasa.
Kenyataan itu dikongsi di laman Twitternya susulan laporan media mengenai perkara itu.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut melampirkan tangkap layar ucapan terima kasih kepada Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana diberi peluang memegang dua jawatan itu.
“Datuk Seri Presiden, saya diberitahu oleh media, saya dipecat sebagai SUA (Setiausaha Agung) BN dan MN. Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua dua jawatan tersebut sebelum ini.
“Selamat maju jaya Datuk Seri Presiden. Salam hormat,” katanya seperti tertera pada tangkap layar di aplikasi WhatsApp yang dipercayai kumpulan WhatsApp pemimpin UMNO dimuat naik di laman Twitternya itu.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN berkuatkuasa serta-merta.
Menurut sumber, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Penggantian Annuar Musa ini dipercayai merupakan sebahagian hala tuju baharu UMNO yang turut mengumumkan penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Februari ini. – Sinar Harian