Saturday, January 25, 2025

Creating liberating content

BAM Terima Tajaan RM1.9...

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menerima tajaan berjumlah US$450,000...

Lelaki Masuk Botol Pewangi...

TEMERLOH - Polis menahan seorang pekerja kedai makan kerana disyaki merogol dan...

Kes Tembakan: Polis Tahan...

ALOR SETAR - Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan bapanya...

Liek Hou Jadi Juara...

PETALING JAYA: Perseorangan lelaki badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan dia berada...

“Apa Sebenarnya UMNO Inginkan?” – Hishammuddin

PUTRAJAYA – UMNO perlu membuat keputusan teliti bagi menentukan rakan politiknya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika ia enggan meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Bahagian UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam membuat perancangan serta menentukan kerjasama politik, parti itu harus ada hala tuju, objektif dan sebab yang jelas.

Beliau yang juga Menteri Luar menegaskan, pertimbangan tidak boleh dibuat dengan bersandarkan emosi dan kesan jangka pendek.

Katanya, ini kerana keputusan dibuat bakal menentukan jatuh bangun UMNO, selain memberi kesan terhadap nilai, asas perjuangan dan kedudukan parti itu pada pilihan raya akan datang.

“Sekiranya membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU, parti harus memutuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang PRU-15.

“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian? Perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok.

“UMNO mesti melakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan media dengan tajuk melontarkan persoalan ‘Apa sebenarnya UMNO inginkan?’, hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu memaklumkan, dirinya mengikuti rapat perkembangan sedang berlaku dalam UMNO, dan ramai bertanyakan respons beliau mengenai perkara berkenaan.

Beliau menekankan, UMNO harus mengambil iktibar bahawa Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 79 kerusi pada PRU-14 berbanding 133 pada PRU-13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf daripada pengalaman ini.


“Tambahan pula, kita masih berperang dengan COVID-19. Kes harian masih tinggi. Selain itu, negara sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.

“UMNO sedang diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis serta menitikberatkan kepentingan rakyat,” katanya.

Hishammuddin berkata, pemimpin UMNO memikul amanah mengetuai beberapa kementerian, merangkumi Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, menerajui Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara, serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 secepat mungkin.

“Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Pada hemat saya, inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan, akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan.

“Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya UMNO inginkan. Putuskanlah yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan bahawa jika UMNO memutuskan bahawa semua menteri daripada parti berkenaan perlu meletak jawatan, beliau akan patuh dan berbuat sedemikian. – BH Online

Kategori