PUTRAJAYA – Pemberian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipercepatkan kepada bulan depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini bagi memastikan anak-anak dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian 150,000 komputer riba oleh GLC dan GLIC bermula bulan Februari ini.
“Ini adalah salah satu cara kita memanfaatkan ekosistem kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika menyampaikan laporan LAKSANA ke-38 secara maya hari ini.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan KPM bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutamanya bagi pelajar-pelajar di luar bandar.
“Untuk pengetahuan umum, dari tahun 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah telah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini,” katanya
Tengku Zafrul berkata, bagi beliau, pelaksanaan yang berhasil adalah lebih penting daripada angka-angka peruntukan yang dinyatakan tadi.
“Ulasan pendek ini sahaja sudah menyentuh pelbagai inisiatif untuk rakyat dan perniagaan.
“Yang penting sekali, agensi dan kementerian akan terus memudah cara proses penyaluran bantuan supaya semua pihak yang memerlukan akan disokong untuk bertahan atau bangun semula,” katanya. – BH Online