KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan tarikh pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) dalam masa terdekat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, proses semakan permohonan baharu dan rayuan masih dijalankan.
Katanya, permohonan baharu dan rayuan yang lulus, dijangka disalurkan mulai bulan ini.
“Manakala, penunaian fasa pertama BPN 2.0 melalui BSN bagi mereka yang gagal kredit juga masih sedang diteruskan,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-35 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bagi Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP 2.0), proses semakan permohonan baharu dan rayuan sedang dalam proses semak silang antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan.
“Keputusan GKP 2.0 juga akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Program Subsidi Upah (PSU 2.0) di bawah pakej Kita Prihatin menyaksikan sebanyak RM418.67 juta disalurkan kepada 39,203 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 307,420 pekerja setakat 25 Disember 2020.
Katanya, jumlah itu berbanding RM239.73 juta bagi 51,022 majikan dan 420,193 pekerja pada minggu sebelumnya. – myMetro Online