KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memutuskan sama ada peniaga pasar malam, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan sektor lain akan dibenarkan operasi atau tidak, dalam masa terdekat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mendapat banyak permintaan daripada pihak terbabit dan sudah menyerahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat khas MKN dalam masa terdekat dan akan mempertimbangkan setiap cadangan dikemukakan.
“Sejak mula kerajaan melihat isu ini daripada segi keperluan ekonomi dan keperluan membantu kehidupan rakyat terutama golongan B40 dan peniaga mikro.
“Kita akan putuskan dalam masa terdekat dan akan diumumkan nanti,” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati terdapat pihak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sektor dibenarkan beroperasi.
“Senarai berkaitan keperluan asas dan rantaiannya dibenarkan dibuka dan sebagai contoh, penjualan sayur adalah keperluan asas manakala rantaiannya termasuk lori membawa sayur.
“SOP tetap sama, tiada beza dan jika ada yang tetap membukanya walau tidak dibenarkan, jelas ia melanggar arahan dan jika dapat tahu akan diambil tindakan,” katanya. – myMetro Online