KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila berlangsung secara digital sepenuhnya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pendekatan itu menunjukkan kerajaan komited ke arah pembangunan lestari.
Katanya, inisiatif yang dilaksanakan ini menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Perubahan ini jelas memperlihatkan iltizam dan komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan inisiatif serta program pembangunan.
“Ia demi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang akan terus diutamakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Zuki berkata, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menekankan kerajaan perlu menitikberatkan peningkatan kualiti kesihatan awam.
“Perdana Menteri turut mahu pengukuhan ekonomi negara dilakukan melalui pelaksanaan Belanjawan 2021, memastikan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaludin berkata, inisiatif pelaksanaan mesyuarat tanpa kertas berjaya dilaksanakan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, dalam tempoh enam bulan lalu, semua ahli mesyuarat menerima sekotak kertas fizikal setiap minggu, dan hari ini, ia tiada langsung.
“Semua maklumat mengenai mesyuarat kini di dalam pelayar yang selamat dan boleh diakses peranti kami.
“Pada masa hadapan, diharap Parlimen yang akan bersidang juga menggunakan kaedah ini, tanpa sebarang kertas fizikal,” katanya menerusi Twitter. – BH Online