PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan, hari ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluar dan membekalkan vaksin COVID-19 Pfizer di negara ini.Â
Perjanjian itu adalah lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 November lalu.Â
Perjanjian dimeterai secara telesidang oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei), Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer. Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer, Anil Argilla.
Berucap pada majlis itu, Dr Adham berkata, kerajaan Malaysia menghargai sokongan yang diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di negara ini lebih awal daripada jangkaan.
Argilla pula berkata, Pfizer komited untuk memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.
“Ini adalah satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia,” katanya kepada Bernama.Â
Pada hujung November lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia sudah memeterai perjanjian dengan Pfizer untuk mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.
Kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos yang akan diterima sepanjang tahun 2021.
Ketika ini kerajaan sedang berunding dengan 10 daripada 12 syarikat (pengeluar) vaksin COVID-19 yang kini berada dalam ujian klinikal fasa tiga, termasuk dari China, Russia dan Amerika Syarikat (AS). – BERNAMA