JAKARTA – Operasi 24 jam bagi mengesan mangsa korban, bangkai dan kotak hitam pesawat Sriwijaya Air yang terhempas Sabtu lepas di perairan Kepulauan Seribu memasuki hari ketiga hari ini.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan lebih banyak serpihan badan dan enjin pesawat manakala setakat 10.30 pagi ini, jumlah keseluruhan bungkusan berisi cebisan mayat yang dihantar ke Rumah Sakit Polri (Polis Indonesia) di Kramat Jati meningkat kepada 16 bungkusan.
Operasi pencarian itu dilaksanakan selama 24 jam, kecuali pasukan penyelam yang tidak beroperasi pada waktu malam dan hanya kembali beroperasi pagi ini.
Biro Komunikasi dan Informasi Publik, Kementerian Perhubungan dalam kenyataan memaklumkan operasi SAR itu disertai polis, tentera, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) serta agensi berkaitan melibatkan penggunaan empat helikopter, dua pesawat udara dan 38 unit kapal yang dilengkapi peralatan seperti Multibeam Echosounder dan Remotely Operated Vehicle (ROV).
Panglima Tentera Indonesia Hadi Tjahjanto berkata fokus pencarian kini tertumpu untuk mendapatkan kotak hitam pesawat, selepas koordinatnya dikenal pasti berada pada kedalaman 23 meter di perairan Kepulauan Seribu itu.
Sementara itu, Ketua Biro Penerangan Masyarakat Divisi Hubungan Masyarakat, Polis Indonesia, Rusdi Hartono berkata setakat 10.30 pagi ini sebanyak 40 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga penumpang pesawat itu telah diperolehi bagi proses antermotem dan bedah siasat.
Penerbangan pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air dari Jakarta ke Pontianak yang membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal itu terputus hubungan selepas berlepas pada 2.36 petang Sabtu, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta. – BERNAMA