PUTRAJAYA – Kebenaran khas untuk pergerakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves esok bersempena sambutan Thaipusam, diberi selepas pihak berkuasa mengambil kira perayaan itu merupakan upacara penting sambutan berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara hari ini, program itu perlu mematuhi syarat ketat termasuk pergerakan bermula pada 3 pagi esok (27 Januari) dan kembali ke kuil asal pada 3 pagi Jumaat (29 Januari).
Penganut tidak dibenarkan mengiringi pergerakan pedati, selain pedati tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi dalam perjalanan ke Batu Caves serta semasa ke kuil asal.
Menurut kenyataan itu, kementerian tersebut akan memantau pergerakan pedati mengikut kuasa yang terkandung dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sebelum ini, kementerian itu dilaporkan berkata sambutan Thaipusam di kuil-kuil di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan.
Seluruh negara kini, kecuali Sarawak, berada di bawah PKP hingga 4 Februari depan. – BERNAMA