KUALA LUMPUR – Semua majikan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak memohon Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menambah baik program berkenaan yang mendapat maklum balas sebagai antara inisiatif disambut baik oleh pekerja dan majikan.
“Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja bergaji kurang daripada RM4,000.
“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dan dijangka memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih 2.6 juta pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Bagi mereka yang hilang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, Muhyiddin memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).
Katanya, pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, akan dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN.
“Mereka akan dibenarkan memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada pendapatan selama tiga bulan,” katanya. – BH Online