1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru seluruh rakyat untuk bersabar dengan dugaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri. Kerajaan terpaksa bertindak tegas dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang semakin meruncing. Harus diingat bahawa jangkitan COVID-19 masih mencatatkan 4 angka. Sehingga hari ini, belum ada tanda-tanda penurunan kes kepada 3 angka. Kerajaan turut berkongsi bahawa Ro adalah sekitar 1.1, dijangkakan kes akan naik kepada 8,000 sehari pada bulan Ferbruari, jika kerajaan tidak lakukan langkah pencegahan seperti PKP.
2. Petugas barisan hadapan pula sudah kepenatan dalam menjalankan kerja mereka. Bayangkan, kita berdepan wabak ini sejak bulan Mac, kemudiannya beberapa fasa getir seperti penularan COVID-19 sewaktu Kluster Tabligh, kemudiannya Sabah, kini di zon merah di lebih 5 negeri termasuklah yang kritikal di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
3. Kerajaan diseru supaya melaksanakan SOP PKP 2.0 seperti PKP pertama bulan Mac 2020. Tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat yang lebih memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan pelabur asing. PKP 1.0 telah berjaya melandaikan lengkungan kes harian COVID-19.
4. Kerajaan juga diseru untuk lebih prihatin akan kebajikan rakyat. Sebaiknya diumumkan terus bantuan daripada kerajaan ketika pengumuman PKP 2.0 semalam. Menteri Kewangan seharusnya cakna akan kebajikan rakyat dengan memberi lanjutan moratorium pinjaman secara automatik tanpa faedah dan caj penalti untuk PKP 2.0 ini. Bayangkan ramai yang tidak dapat bekerja atau berniaga dalam tempoh PKP 2.0. Pendapatan isi rumah pada bulan Januari 2021 dijangka merosot dengan mendadak.
5. Kerajaan juga diseru cakna isu rakyat dengan memansuhkan segala syarat i-Sinar untuk permohonan bagi kategori 2. Mengapa perlu menyusahkan rakyat dalan keadaan genting dan getir, seperti kata Perdana Menteri, “we require unprecedented action during unprecedented time”. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu sedar bahawa ramai yang belum sempat memohon. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan untuk “walk the talk during this unprecedenred time” dan bukannya NATO “No Action, Talk Only”.
6. Akhir sekali, kerajaan perlu melihat kepada kesilapan demi kesilapan yang dilaksanakan ketika penularan COVID-19 gelombang ketiga ini agar PKP 2.0 dapat ditamatkan seperti dirancang dan tidak dipanjangkan. Antara kesilapan tersebut adalah lambat menyekat rentas negeri, melonggarkan SOP dan menarik balik larangan rentas negeri terlalu awal pada ketika jumlah kes Covid sudah tinggi untuk menggalakan rakyat melancong di dalam negara. Akibatnya negeri-negeri zon hijau kini menjadi zon merah.
7. Ahli politik pula digesa patuh SOP seperti rakyat Marhaen yang lain. Jangan pula mereka redah dan tidak hiraukan SOP kerana mampu membayar denda. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berdoa agar seluruh rakyat dan negara kita keluar daripada pandemik COVID-19 secepat mungkin. Kepada Tuhan kita berserah. Amin.
Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan