KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) akan meneruskan usaha memastikan kelangsungan hidup rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri berkata, tumpuan juga diberikan kepada rakyat dalam kategori golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian, selain mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi fasa pertama membabitkan lebih lapan juta penerima.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh program kebajikan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan melaksanakan Program Bakul Makanan merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.
“Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta di bawah program syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial termasuk pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan mangsa banjir.
“Kerajaan sudah mengumumkan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak berkenaan dan penyumbang layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam sudah memohon moratorium dan menerima bantuan pembayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Katanya, bagi negeri yang dilanda banjir sebanyak 15 bank juga sudah menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman manakala peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh mendapat khidmat nasihat daripada Bank Negara Malaysia danAgensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar kategori dua.
“Kerajaan juga meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan yang akan dibuat mulai 26 Januari,” katanya. – myMetro Online