KUALA LUMPUR – Semua pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) domestik dan bukan domestik akan menerima rebat elektrik pada kadar dua sen setiap kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata enam sektor perniagaan di negara ini juga akan menerima diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac ini.
Katanya, sektor yang terbabit adalah pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), hari ini. – BH Online