Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Apa Ditakuti Dap Pada...

SEBENARNYA Dap boleh menerima hakikat kalau kedua-dua kerusi parlimen di Sungai Besar dan Kuala...

Video: Seram.. Penonton Villa...

TIDAK dinafikan filem Villa Nabila hasil buah tangan pengarah muda, Syafiq Yusof adalah antara...

Kebakaran: HKL Adakan Mesyuarat...

KUALA LUMPUR — Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengadakan mesyuarat “maklum...

SPRM Tahan Warden Penjara...

KANGAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan seorang warden penjara Pusat...

Tiada Peluang, Gaji Sikit Punca Rakyat Malaysia Berhijrah

KUALA LUMPUR – Misi sekian lama Malaysia untuk menyertai kelab negara maju nampaknya semakin jauh tergelincir. 

Penghijrahan pakar di negara ini adalah tinggi berbanding asas kemahiran yang terhad, dengan seorang daripada sepuluh graduan berhijrah pada 2000 – dan ini adalah dua kali berbanding purata dunia, demikian menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Menurut Bank Dunia pada 2011, penghijrahan pakar diburukkan lagi oleh kekurangan aliran masuk bagi menggantikannya, dan Malaysia merupakan negara penerima utama tetapi kebanyakan imigran adalah mereka yang kurang mahir manakala, ekspatriat berkemahiran tinggi semakin menyusut sejak 2004. 

Hari ini, hampir 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara, dengan Singapura menjadi negara pilihan utama (54 peratus), diikuti Australia (15 peratus), United Kingdom (5 peratus) dan Amerika Syarikat (10 peratus).

Kekurangan prospek kerjaya di Malaysia adalah suatu yang merugikan kerana pasaran pekerjaan domestik belum bersedia bagi pekerjaan bukan tradisional kerana ia hanya menyediakan khusus bagi pekerjaan tradisional seperti doktor, peguam dan jurutera, kata Ketua Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Norizah Mohd Mustamil. 

“Mereka yang menceburi bidang subjek khusus seperti seni atau sains tulen sering dipandang sangsi, hanya kerana mereka menyimpang jauh daripada pasaran pekerjaan arus perdana. 

“Justeru, untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa mencari peluang di luar negara apabila kemahiran unik mereka sebenarnya bernilai. Di negara-negara inilah mereka sebenarnya mempunyai peluang baik untuk mencari nafkah,” katanya kepada Bernama.

Individu berkemahiran tinggi, boleh menyesuaikan diri, berkemahiran dan pengalaman selalunya adalah aset paling bernilai bagi mana-mana negara. 

Tenaga kerja ini adalah pembina negara, pemacu di sebalik setiap kemajuan sesebuah negara. Sebenarnya, Malaysia sudah membina kumpulan tenaga kerja tempatan yang besar selama bertahun-tahun ini. 

“Namun, kita juga menyedari akan peningkatan kadar penghijrahan tenaga kerja ini,” kata Norizah, sambil menambah kurang bersedia untuk menangani isu gaji rendah dan ketidakupayaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur adalah antara faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian. 

Sebagai contoh, beliau berkata gaji bagi mereka yang baru mula bekerja di Kanada bermula pada US$38,000 setahun (bersamaan dengan RM150,000 setahun) manakala, di Malaysia graduan yang baru tamat belajar memperoleh kira-kira US$7,000 setahun (bersamaan dengan RM30,000 setahun).

“Tak perlu jadi pakar matematik untuk mengetahui perbezaan jelas pembayaran itu. Cukup untuk menyatakan bahawa gaji yang boleh mereka dapat di negara maju dan manfaat yang kurang menarik di dalam negara menyebabkan rakyat Malaysia berhijrah (bagi mencari peluang kerja),” katanya.

Menurut Bank Dunia, usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi juga akan bergantung kepada bagaimana ia mengendalikan penghijrahan keluar pakarnya – penghijrahan modal insan berkemahiran tinggi. 

Menerusi laporannya yang bertajuk “Malaysia Economic Monitor” pada 2011, bank itu menganggarkan diaspora Malaysia pada 2010 berjumlah satu juta dengan penghijrahan keluar pakar menyumbang satu pertiga daripadanya. 

Menurut laporan itu, dengan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan keterangkuman, Malaysia boleh menangani penghijrahan keluar pakar secara komprehensif dan ia mengesyorkan pembaharuan sistem pendidikan, membaik pulih ekosistem inovasi, dan mengorientasikan semula dasar keterangkuman berdasarkan merit dan keperluan. 


Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, berkata kerajaan sudah menubuhkan entiti seperti Talent Corporation Malaysia Bhd untuk menarik semula pulang rakyat Malaysia yang berbakat.

Ditubuhkan pada 2011 untuk menarik, memupuk dan mengekalkan pekerja terbaik dan bersesuaian untuk Malaysia, agensi itu meluluskan 5,366 permohonan sehingga Disember 2019 di bawah Program Pengembalian Ekspatriat.

Ia turut merekodkan 116,605 profil pelajar untuk tenaga kerja menerusi program Memupuk Bakat Berkepakaran, manakala 996 wanita pula menyertai Program Kembali Bekerja.

“Saya tidak pasti sama ada ia sudah memberikan keputusan yang setimpal. Penghijrahan pakar ini sesuatu yang bukan luar biasa di banyak negara, namun, apa yang janggal kepada kita ialah tenaga kerja berbakat ini tidak masuk ke negara kita untuk menggantikan tenaga kerja yang hilang,” katanya.

Beliau menegaskan antara masalah utama isu penghijrahan pakar adalah birokrasi dan kerumitan peraturan imigresen yang menyebabkan pasangan asing rakyat Malaysia dan anak-anak mereka amat sukar untuk mendapatkan kediaman tetap, kewarganegaraan dan pekerjaan.

“Buat masa ini, pasangan warga asing profesional menyifatkan begitu sukar untuk berdepan kerenah birokrasi itu. Sebagai contoh, visa pasangan bukan warganegara menyatakan bahawa bekerja adalah dilarang. Malahan, meskipun pasangan warga asing dibolehkan bekerja dengan kebenaran, banyak syarat ketat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Ini hanyalah satu daripada contoh yang boleh diselesaikan oleh kerajaan memandangkan pasangan profesional warga asing akan menjadi pekerja yang boleh diambil untuk meningkatkan rantaian nilai ekonomi,” katanya.

Akhirnya, ramai individu berbakat meninggalkan negara sekiranya tidak banyak peluang dalam negara. Oleh itu, peluang akan wujud sekiranya ekonomi diperkukuhkan.

Yeoh berkata ekonomi Malaysia telahpun bergelut sebelum COVID-19 dan keadaan itu semakin buruk disebabkan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya masalah struktur negara dapat ditangani, cara untuk mengembalikan semula keadaan ekonomi ialah memberi penekanan kepada sektor dan industri pertumbuhan utama yang akan mewujudkan pekerjaan dan peluang sesuai yang boleh dipilih oleh individu berbakat untuk kekal berada di negara ini.

“Ini termasuk mewujudkan sistem politik yang lebih stabil dan kukuh, institusi yang telus dan bertanggungjawab, sistem ekonomi yang adil dan berasaskan peraturan dan memastikan amalan meritokratik dalam bidang khusus seperti pembangunan perusahaan dan pemilikan ekuiti di samping memahami keperluan menangani peluang saksama kepada masyarakat yang tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata dengan menangani isu sistem itu, ia akan menarik pelaburan langsung asing, meningkatkan pelaburan ke dalam sektor utama Revolusi Perindustrian Keempat atau mana-mana industri agar teknologi dapat dimanfaatkan dan modal insan akan berminat untuk tinggal di negara ini untuk melabur dan mengambil bahagian.

Sementara itu, Norizah berkata penekanan yang sama rata perlu diberikan dalam perbincangan komprehensif dari segi kesejahteraan dan kualiti hidup termasuk imbuhan yang menarik, peluang pekerjaan dan keadaan yang selamat, pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak dan taraf hidup lebih tinggi. – BERNAMA

Kategori