KUALA LUMPUR – Setelah lebih tiga jam bermesyuarat malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak membuat sebarang keputusan berhubung masa depan kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, segala usul perbincangan yang dibawa dalam mesyuarat malam ini akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan selepas mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, warga media telah dimaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan membuat sidang media namun berakhir kecewa apabila hanya kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau berkata, usul yang akan dibawa meliputi tiga usul utama dibangkitkan UMNO bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menggesa PRU dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.
“Usul-usul ini menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa depan parti dan negara.
“Mesyuarat bersetuju membawa usul-usul ini ke PAU pada 31 Januari ini bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan UMNO di mana usul-usul Bahagian akan diangkat ke PAU,” katanya.
Shahril menambah, mesyuarat juga memutuskan menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir termasuk pasca banjir.
“Bagi tujuan menyelaras semua gerak penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, sebuah pasukan khas UMNO menangani bencana ditubuhkan dipengerusikan Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya.
Dalam pada itu, katanya mesyuarat turut mengambil maklum pertukaran jawatan Setiausaha BN yang digalas semula secara tradisinya oleh Setiausaha Agung UMNO.
“Perkara ini sudah mendapat persetujuan lisan presiden-presiden parti komponen dan akan dibahasakan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,” katanya. – Sinar Harian